My Add

Wednesday 24 October 2012

Skim khas bantu mangsa bencana

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012: Kerajaan diminta mewujudkan satu skim bantuan khas buat mangsa yang mengalami kemusnahan harta benda dan kediaman akibat kebakaran terutama melibatkan golongan miskin di pedalaman dan luar bandar.

Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) berkata, apabila ditimpa bencana kebakaran, mangsa kebiasaannya turut kehilangan segala dokumen dan mereka memerlukan kewangan mencukupi serta pembinaan rumah baharu dalam tempoh yang cepat.

Kata beliau, bantuan tersebut boleh disalur melalui Tabung Bantuan Bencana Negara yang telah ditubuh kerajaan untuk membantu rakyat yang ditimpa bencana.

"Melalui tabung ini, saya mencadangkan kerajaan memberi tajuk khas berkaitan bantuan untuk (mangsa) rumah yang berlaku kebakaran.

"Ini adalah supaya bantuan segera dapat diberi dalam jumlah sewajarnya, terutama bagi rakyat miskin di luar bandar untuk membangunkan semula rumah mereka," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 Peringkat Jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Lilah menggesa kerajaan memantau sumbangan yang diberikan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri bagi memastikan peruntukan itu tidak disorok atau gagal diurus dengan baik.

Kata beliau, ini kerana Laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak melaksanakan pembinaan rumah kos rendah untuk membantu rakyat miskin walaupun Kerajaan Persekutuan sudah memberi RM33.3 juta bagi tujuan itu.

Sementara itu, Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) pula meminta kerajaan mengemaskini perkhidmatan Jabatan Kastam dalam usaha mengutip cukai berikutan keadaan tidak teratur di pelabuhan sehingga mengakibatkan negara kehilangan hasil cukai harian yang banyak.

"Pegawai bertugas di kawasan pelabuhan juga perlu dibuat pemantauan kerap oleh pelbagai agensi, termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia) untuk memastikan ketelusan dalam pengendalian kontena yang begitu banyak supaya dapat menjana pendapatan lebih," katanya.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pula meminta kerajaan membekalkan senjata yang lebih canggih kepada pegawai penguat kuasa kastam sebagai langkah keselamatan menghadapi situasi kecemasan, terutama apabila diserang atau diancam oleh pihak tertentu.

"Sejumlah peruntukan perlu disediakan untuk pegawai penguatkuasa kastam dibekalkan senjata canggih dan diberi kursus pengendalian senjata," katanya. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment