My Add

Tuesday 9 October 2012

Tangani pluralisme, liberalisme
*MUHYIDDIN Yassin hadir menyempurnakan perasmian Seminar Dakwah Nasional 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut mengiringi beliau ialah Pengarah Seminar, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad (kiri). - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan SYUKRI SHAARI
KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Oktober, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyebaran fahaman pluralisme agama dan liberalisme merupakan satu cabaran serta ancaman yang melanda umat Islam pada masa kini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, fahaman tersebut menganjurkan pengikutnya terutama umat Islam membebaskan diri daripada kepercayaan serta peraturan yang menjadi asas keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Beliau berkata, pendokong fahaman itu menghalalkan pergaulan bebas, perkahwinan sejenis, perbuatan murtad dan segala bentuk kemungkaran lain yang kononnya atas nama kebebasan individu dan hak asasi manusia.

Katanya, fahaman ini jika dibiarkan menular akan menyebabkan berlakunya keadaan yang mana masyarakat tidak lagi menjalani kehidupan berasaskan panduan dan pedoman agama.

''Syariat Islam yang menekankan ketertiban dalam hubungan antara individu, keluarga, masyarakat dan negara tidak lagi dipatuhi malah dianggap sesuatu yang lapuk dan mengekang kebebasan.

"Bagi mereka yang mendokong fahaman ini, manusia boleh percaya apa sahaja dan melakukan apa sahaja, asalkan menepati cita rasa dan selera individu," katanya ketika merasmikan Seminar Dakwah Nasional di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Seminar yang akan berakhir esok itu dianjurkan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).

Muhyiddin seterusnya memberitahu, dalam menghadapi cabaran tersebut, mahu tidak mahu gerakan dakwah di negara ini terpaksa menggalas tugas besar.

"Para pendakwah perlu memberikan kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat supaya mereka tidak mudah terkeliru dengan fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Untuk itu, gerakan dakwah perlu diperkasakan. Para ulama, ilmuan Islam dan pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam perlu tampil membantu memperkasakan kegiatan dakwah negara kita. Seluruh kekuatan gerakan dakwah perlu digembleng untuk menghadapi cabaran pemikiran dan akidah yang sedang melanda umat pada masa ini," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan di Malaysia jauh berbeza dengan beberapa negara yang mengamalkan dasar sekular iaitu gerakan dakwah di negara-negara terbabit sering ditekan oleh pihak pemerintah hingga menyebabkan berlaku ketidakstabilan dan kekacauan.

Beliau berkata, akibatnya juga syiar Islam tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna, pembangunan umat terabai dan umat Islam hidup dalam suasana tertekan.

Situasi itu katanya, menyebabkan wujud jurang yang besar antara gerakan dakwah dan pemerintah, akhirnya merugikan umat Islam.

"Alhamdulillah perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Sebaliknya jalinan hubungan yang akrab antara gerakan dakwah dan kerajaan telah membolehkan syiar Islam berkembang pesat di negara kita sekali gus pembangunan umat dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment