My Add

Tuesday 9 October 2012

Tarif elektrik kekal pada kadar semasa

 KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Oktober, 2012: Kadar tarif elektrik kekal pada paras semasa sehingga Jun tahun depan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, hari ini.

Beliau berkata kerajaan pada awalnya merancang menyemak semula tarif setiap enam bulan, namun Kabinet, yang merupakan pihak berkuasa akhir, menolak pelan itu.
Chin berkata kementerian berkenaan membentangkan kertas mengenai tarif itu baru-baru ini kepada Majlis Ekonomi Negara.

"Kabinet tidak meluluskannya. Oleh itu saya menjangkakan semakan semula tidak akan dibuat dan tarif kekal pada tahap semasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Amalan Terbaik Antarabangsa di sini hari ini.

Kali terakhir kerajaan menyemak tarif itu ialah pada Jun tahun lalu, berikutan peningkatan harga gas asli cecair bagi sektor tenaga.

Chin juga berkata rundingan semula mengenai perjanjian pembelian tenaga (PPA) pengeluar tenaga bebas akan menyumbang kepada kadar yang lebih kompetitif.

"Kita perlu menunggu Suruhanjaya Tenaga membuat pengumuman tidak lama lagi," katanya yang enggan mengulas lanjut.
 
Sementara itu, Chin menggesa Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan meter digital baru.

Beliau berkata kementerian itu telah berbincang dengan TNB berikutan aduan daripada pengguna yang mereka kini membayar bil elektrik yang lebih tinggi.

Kementerian mengambil perhatian terhadap masalah itu dan menggesa TNB menyediakan SOP yang dapat meyakinkan pengguna.

"Mereka perlu menjelaskan kepada pengguna bahawa meter baru itu baik dan tidak ada yang salah mengenainya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment