My Add

Monday 8 October 2012

TERAJU terima 69 permohonan projek berjumlah RM6.57 bilion

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Oktober, 2012:: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menerima 69 permohonan dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM6.57 bilion sehingga September tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, TERAJU kini dalam peringkat meneliti kesemua permohonan terbabit bagi memastikannya memenuhi kesemua syarat yang telah ditetapkan.
 
"Setakat ini, lapan projek PFI Bumiputera sudah pun diperakukan oleh kerajaan dengan nilai dana berjumlah RM88 juta," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Manan ingin tahu mengenai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan di bawah TERAJU seperti Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPBB).

Nor Mohamed berkata, YPBB merupakan satu initiatif yang dilaksanakan bagi mengukuhkan pembinaan keupayaan dan kepakaran golongan Bumiputera untuk bersaing secara kompetitif di peringkat global.

"Kita sedar, walau pun ada peningkatan jumlah Bumiputera yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan tetapi jumlah mereka yang berkhidmat di dalam bidang itu adalah sedikit.

"Justeru, kerajaan melalui TERAJU sudah melaksanakan program jangka panjang dan pendek bagi memastikan wujudnya peluang untuk Bumiputera dalam bidang-bidang kerjaya utama seperti perakaunan," katanya.
Katanya, Dana permulaan sebanyak RM148 juta dikumpulkan daripada syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi berkaitan kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment