My Add

Monday 8 October 2012

Terminal teksi baru Dataran Shahbandar beroperasi awal tahun depan

KUALA TERENGGANU, ISNIN, 08 Oktober, 2012: Sebuah terminal teksi baru berhampiran Dataran Shahbandar di sini yang bernilai RM350,000 bakal beroperasi awal tahun depan, kata Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd Dagang.

Beliau berkata, kerja pembinaan terminal itu yang boleh menampung 36 tapak teksi akan bermula bulan depan dan dijangka siap akhir tahun ini.

"Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membina terminal ini bagi menggantikan terminal teksi lama berhampiran stesen bas sekarang. Tapak stesen teksi lama ini akan dibangunkan.

"Kerja-kerja pemindahan akan dilakukan bulan depan dan bagi sementara waktu, kita akan meletakkan kanopi untuk pemandu teksi memulakan operasi mereka," katanya di sini, hari ini.

Terminal itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk penumpang termasuk menempatkan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Adzlan berharap dengan adanya terminal baharu itu, ia akan melancarkan sistem teksi di bandar raya ini.

"Kita bina terminal teksi ini di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah bandar bagi memudahkan penumpang menggunakan perkhidmatan ini. 

"MBKT juga akan menyediakan tempat khas untuk pemandu teksi di Stesen Bas MBKT untuk memudahkan mereka mengambil dan menghantar penumpang. Namun jumlah teksi yang diletakkan di situ adalah terhad," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment