My Add

Tuesday 23 October 2012

Tiada pindaan atau tambahan fakta dalam artikel Hasan Ali: Utusan

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa tiada sebarang penyuntingan, pindaan atau tambahan fakta dilakukan oleh akhbar Utusan Malaysia berhubung kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mengulas temu bual Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama BBC.

Pengarang Berita Kanan 2, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Zulkiflee Bakar, 44, juga berkata tiada perubahan yang dilakukan kerana artikel bertarikh 17 Januari lalu berbentuk transkrip berdasarkan apa yang dikatakan oleh Hassan.

Zulkiflee yang memberi keterangan hari ini dalam perbicaraan kes saman oleh ketua pembangkang itu terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak, turut memberitahu bahawa beliau tidak mendapatkan sebarang komen daripada Anwar (mengenai artikel itu) kerana sudah mengetahui Parti Keadilan Rakyat (PKR) 'tidak melayan' Utusan.

"Pejabat PKR meletakkan notis tidak membenarkan pihak Utusan hadir sebarang sidang media oleh Anwar. PKR tidak melayan Utusan," katanya ketika disoal Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Utusan.

Zulkiflee, saksi defendan keempat, berkata sebelum menyunting artikel itu beliau mengadakan perbincangan dengan wartawan, Saiful Nizam Mohamad yang turut berada pada sidang media Hasan bersama beliau pada hari itu.

Beliau juga memberitahu bahawa artikel itu diterbitkan selepas mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarang, Datuk Abdul Aziz Ishak selepas mengadakan perbincangan.

Zulkiflee berkata, penyiaran artikel berkenaan tidak bermaksud untuk memfitnah Anwar. 

Ditanya peguam N Surendran yang mewakili Anwar, adakah tujuan penyiaran artikel itu untuk merosakkan reputasi Anwar dalam bidang politiknya, Zulkiflee berkata: 'Tidak'.

Zulkiflee adalah saksi defendan keempat dalam perbicaraan kes berhubung artikel mengenai komen Anwar bersama BBC mengenai undang-undang berkaitan homoseksual.

Pada 20 Januari lalu, Anwar memfailkan saman fitnah itu bagi menuntut ganti rugi RM50 juta, atas dakwaan menerbitkan dua artikel di muka hadapan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Januari tahun ini berhubung temu bualnya bersama BBC.

Hakim Datuk V T Singham menetapkan 27 Disember ini untuk keputusan kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment