My Add

Wednesday 24 October 2012

Tolak pemimpin mungkir janji - Dr. M
 
*DR. MAHATHIR Mohamad menerima cederamata daripada Pengarah Institut Falsafah Oriental (IOP), Dr. Yoichi Kawada sambil disaksikan Pemangku Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor dalam majlis Simposium Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan Kelestarian di UM, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Oktober, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa rakyat supaya membuka mata dan menolak untuk memilih pemimpin yang mungkir kepada janji.

Merujuk kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu bertanding lagi dalam pilihan raya umum akan datang walaupun pernah berjanji untuk berundur sebelum ini, katanya, pemimpin seperti itu akan membawa masalah jika dipilih memimpin negara.

"Saya fikir rakyat perlu ambil perhatian kepada orang (pemimpin) yang buat janji secara terbuka dan selepas itu mungkir janji. Orang yang mungkir janji tak harus dipilih untuk menjadi pemimpin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama sempena Simposium Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan Kelestarian di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Beliau memberi reaksi terhadap kenyataan Nik Abdul Aziz yang membayangkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang kerana ia disyorkan oleh parti.

Pada Ahad lalu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, hasrat Nik Abdul Aziz untuk terus bertanding dalam pilihan raya umum nanti membuktikan pemimpin tersebut seorang yang 'tidak sedar diri'.

Ketika menegaskan perkara itu, Ibrahim berkata, "Semasa Pilihan Raya Ke-10 pada 1999, Nik Abdul Aziz pernah mencabar Dr. Mahathir meletak jawatan kerana mendakwa beliau sudah tua, nyanyuk dan sentiasa uzur. Selepas itu beliau akan letak jawatan.

"Tetapi sudah lebih sembilan tahun Dr. Mahathir meletakkan jawatan, Nik Abdul Aziz sehingga kini belum berbuat demikian walaupun sudah tua dan nyanyuk seperti pernah dikatakan kepada bekas Perdana Menteri itu dahulu."

Nik Abdul Aziz yang kini berusia 81 tahun, sudah 44 tahun berkecimpung dalam arena politik. Beliau yang menyertai Pas pada 1960 sebagai ahli biasa, pernah menjadi Ahli Parlimen Hilir Kelantan pada 1967 dan menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990.

Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, pemimpin yang mungkir janji diyakini akan sentiasa 'mengkhianati' janji-janjinya sepanjang masa.

"Kalau orang macam ini pimpin negara, dia akan mungkir janji sepanjang masa,'' tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyelar sikap sesetengah pemimpin politik khususnya pembangkang yang menggunakan hukum hudud sebagai isu politik untuk meraih undi rakyat.

"Hukum Hudud yang digunakan untuk politik sebenarnya bukan hudud. Perkara itu hanya satu isu politik untuk memberi kemenangan satu pihak. Saya amat dukacita hukum hudud diguna untuk kepentingan parti tertentu tetapi bukan untuk kepentingan Islam. Kita harus berpegang kepada keadilan dalam melaksanakan hukum itu.

"Saya tak setuju hudud jadi isu politik semata-mata nak tunjuk kononnya mereka pegang kuat kepada Islam dan siapa yang menolaknya, tak pegang kuat dengan Islam. Sebenarnya mereka yang guna hudud (untuk tujuan politik) adalah orang yang tak hormati segala ajaran Islam," katanya.

Kepada soalan berhubung pendirian MCA terhadap Islam, ujarnya, sejak dahulu MCA tidak pernah membantah ketika kerajaan mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam dan mengamalkan nilai-nilai Islam.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa Malaysia tidak pernah diputuskan atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular, Dr. Mahathir berkata: "Kita (Malaysia) adalah negara Islam. Semua negara Islam mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam." - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment