My Add

Wednesday 7 November 2012

17 delegasi Ahli Parlimen Azerbaijan lawat Parlimen

*ABU Zahar Ujang (kanan) menerima kunjungan Oqtay Asadovdi
 pejabatnya di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 November, 2012: Seramai 17 delegasi Ahli Parlimen dari Azerbaijan yang diketuai Pengerusinya, Oqtay S. Asadov melawat bangunan Parlimen hari ini.

Dalam sesi lawatan tersebut, Asadov meluangkan masa mengunjungi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Asadov serta delegasinya juga berkesempatan mengikuti sidang Dewan Rakyat serta bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Abu Zahar yang ditemui selepas lawatan delegasi Azerbaijan itu memberitahu, tujuan utama lawatan berkenaan adalah untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Parlimen Malaysia dengan Parlimen negara tersebut.

Katanya, perbincangan antara beliau dengan delegasi itu banyak memfokus kepada bagaimana Malaysia mampu membantu meningkatkan ekonomi serta kestabilan politik negara tersebut.

"Kita sedia maklum bahawa Azerbaijan baru merdeka kira-kira 20 tahun lalu dan mereka masih dalam proses pembangunan. Jadi, tujuan lawatan mereka hari ini mahu meningkatkan hubungan dua hala dengan Malaysia, termasuklah hubungan bilateral, hubungan perdagangan, pentadbiran dan legislatif.

"Mereka bangga dengan pencapaian Malaysia terutamanya sikap keterbukaan serta kesederhanaan kita. Mereka amat menghormati pembangunan yang ditonjolkan negara termasuklah kestabilan politik," katanya.

Menurut Abu Zahar, Asadov serta delegasinya turut mempelawa Parlimen Malaysia melakukan kunjungan balas ke negara terbabit dan melihat sendiri proses pembangunan yang sedang dilalui mereka selepas mendapat kemerdekaan dan bebas daripada kuasa Kesatuan Soviet.

"Kita menyambut baik cadangan tersebut dan terbuka untuk mengukuhkan hubungan dengan Azerbaijan. Bagaimanapun, saya telah menekankan Malaysia tidak akan campur tangan dalam isu dalaman negara terbabit," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment