My Add

Sunday 11 November 2012

25 maut kereta api bawa petrol terbakar

*ANGGOTA pasukan keselamatan dan orang ramai berkumpul di lokasi sebuah kereta api membawa petrol tergelincir dan terbakar berhampiran pekan Kanbalu, utara Myanmar, kelmarin. - Agensi

YANGON, SABTU, 10 November, 2012: Sebuah kereta api yang membawa minyak petrol tergelincir sebelum terbakar di utara Myanmar semalam, menyebabkan 25 orang maut dan hampir seratus lagi cedera.

Televisyen milik kerajaan, MRTV melaporkan, mangsa yang maut kebanyakannya penduduk kampung yang cuba mengambil minyak yang tumpah akibat insiden itu.

Menurut MRTV, kebakaran berlaku selepas tiga gerabak yang mengangkut tangki minyak tergelincir berhampiran sebuah perkampungan di pekan Kanbalu, dekat sempadan India, kira-kira 500 kilometer ke utara Yangon.

Penduduk di kampung Chekgyi berhimpun beramai-ramai di sekitar kawasan nahas untuk menadah minyak petrol yang tumpah apabila mereka terperangkap di dalam kebakaran.

Kira-kira 70 peratus daripada 60 juta rakyat Myanmar tinggal di ladang dan sukar untuk memperoleh bekalan minyak.

Seorang pegawai daripada Jabatan Kereta Api Myanmar memberitahu Reuters, angka korban mungkin meningkat ekoran beberapa mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, usaha menyiasat punca nahas diteruskan hari ini.

Meskipun angka korban tidak meningkat, polis berkata, 93 orang yang cedera masih menjalani rawatan, kebanyakannya di hospital tempatan di pekan Kantbalua.

Gambar yang dipos di laman web kerajaan semalam menunjukkan mayat mangsa serta bangkai kereta api yang hangus terbakar dapat dilihat di sekitar tempat kejadian.

Penduduk di kawasan pedalaman di Myanmar bergantung kepada kemudahan pengangkutan kereta api ekoran laluan jalan raya yang teruk, tetapi sistem pengangkutan itu turut usang dan perlu dinaik taraf. - REUTERS/AFP

No comments:

Post a Comment