My Add

Tuesday 6 November 2012

4,147 mangsa dipindahkan di 34 pusat pemindahan banjir

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 November, 2012:: Jumlah mangsa banjir di 34 pusat pemindahan di seluruh negara berkurangan kepada 4,147 setakat jam 12.12 tengah hari tadi.

Menurut portal rasmi banjir di laman web Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri, Selangor mencatatkan bilangan mangsa tertinggi 1,907, diikuti Johor dengan 1,860 mangsa, Perak (265 mangsa) dan Melaka (115 mangsa).

Katanya, antara pusat pemindahan dibuka termasuk di Batu Pahat iaitu sebanyak 16 pusat, Kluang (2), Ledang (1), Melaka Tengah (1), Jasin (2), Hlir Perak (3), Kuala Langat (5) dan Sepang (4).

Sehingga kini, tiada laporan kematian dan penutupan jalan diterima susulan kejadian banjir yang membabitkan empat negeri itu.

Menurut laporan BERNAMA, banjir yang melanda beberapa kawasan berikutan hujan lebat di pantai Barat Semenanjung sejak seminggu lalu menyebabkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Melaka dan Perak meningkat kepada 370 mangsa.

Di Ipoh, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak meningkat daripada 256 orang yang dipindahkan sejak Sabtu lalu kepada 265 orang hari ini.

Katanya, hanya sembilan mangsa banjir yang dipindahkan malam tadi dan kesemua mereka ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan di daerah itu.

Beliau berkata, air masih bertahan antara 0.5 meter hingga 1 meter di kawasan itu dan mangsa dipindahkan berikutan hujan lebat menyebabkan air dari Sungai Bidor melimpah ke kampung terbabit.

Kesemua mangsa banjir dipindahkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis.

Di Melaka, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata jumlah mangsa banjir meningkat kepada 115 orang berbanding 104 orang semalam yang melibatkan dua daerah iaitu Jasin dan Melaka Tengah.

No comments:

Post a Comment