Abdul Hadi paling layak jadi Perdana Menteri - Pimpinan Pas
IPOH, ISNIN, 19 November, 2012: Pimpinan Pas Perak memilih Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon paling layak menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan bukannya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa menyifatkan Abdul Hadi mempunyai segala kelayakan untuk diangkat sebagai Perdana Menteri sesuai dengan imej serta personaliti pemimpin tersebut.
Menurut beliau, sama ada Pas sebagai komponen dalam pakatan pembangkang mempunyai lebih banyak kerusi atau tidak dalam pilihan raya akan datang, majoriti ahli parti itu mahu Abdul Hadi dipilih untuk memegang jawatan tersebut.
''Jika parti menang kerusi lebih banyak, Abdul Hadi adalah yang paling layak memegang jawatan tersebut. Ia (bilangan kerusi) mungkin jadi kayu ukur. Tetapi dalam Pas, sama ada mempunyai lebih kerusi atau tidak, kita anggap Presiden kita mempunyai kelayakan.
''Kalau dilihat dari segi personaliti, kredibiliti dan harum namanya sebagai pemimpin Islam yang dikenali di seluruh dunia, beliau (Abdul Hadi) patut diangkat menjadi Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan bahawa Dewan Ulama Pas Pusat setuju Abdul Hadi sebagai pemimpin yang paling layak menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.
Wakil Dewan Ulama Pas Pusat, Hairun Nizam menegaskan, ahli-ahli Pas tidak sepatutnya berkempen agar orang lain menjadi pemimpin sedangkan negara yang ingin dibawa adalah berdasarkan syariat.
Norazli berkata, cadangan untuk menjadikan Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri adalah sesuai dengan imej serta personaliti pemimpin tersebut selain daya kepimpinannya yang semakin terserlah terutama sepanjang muktamar tahunan Pas minggu lalu.
Sementara itu, Pas Johor turut menyokong cadangan supaya Abdul Hadi dilantik sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed bagaimanapun berkata, matlamat itu hanya boleh direalisasikan sekiranya Pas memenangi majoriti kerusi yang ditandinginya.
"Memang menjadi hasrat parti untuk menjadikan Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri, tetapi sekiranya pakatan pembangkang membuat keputusan selain itu, saya yakin ahli-ahli Pas akan memberikan sokongan terhadap keputusan itu.
"Kita bukan gila kuasa, tetapi hanya mahu menang dalam pilihan raya bagi menggantikan kerajaan sekarang," katanya.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd. Ghani bersetuju dengan pandangan Abdul Hadi untuk fokus kepada kemenangan pakatan pembangkang terlebih dahulu sebelum memilih Presiden Pas itu sebagai Perdana Menteri.
''Saya sokong sekiranya Abdul Hadi dipilih sebagai Perdana Menteri dan paling utama calon itu mestilah Melayu dan Islam,'' katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment