My Add

Saturday 17 November 2012

Adik Nur Syahdina johan Bintang Kecil Kebangsaan

KUCHING, SABTU, 17 November, 2012: Lagu "Samudera" nyanyian asal penyanyi Nora, membawa tuah kepada adik Nur Syahdina Nadiah apabila dinobatkan sebagai johan Pertandingan Bintang Kecil Kebangsaan 2012, yang berlangsung di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching di sini, hari ini.

Nur Syahdina, 11, yang mewakili Sabah, menewaskan lapan peserta lain membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala, sijil, sebuah komputer riba, dan pakej penginapan di Hotel Merdeka Palace, Kuching.

Nur Syahdina, murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Kampong Libang, Ranau yang ditemui selepas upacara penyampaian hadiah berkata, persediaan rapi seperti rehat yang cukup, serta amalan bersenam menjadi faktor kejayaannya pada pertandingan tersebut.

Naib johan pula dirangkul peserta dari Sarawak, adik Nur Syuhada Afiqah Roestardimon, 11, yang mendendangkan lagu "Jagalah Diri" (Jaclyn Victor).

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Anchi, Piasau, Miri, itu menerima hadiah wang tunai RM4,000, piala, sijil, sebuah komputer riba, dan pakej penginapan di Hotel Merdeka Palace, Kuching.

Sementara, tempat ketiga menjadi milik adik Fatmawati Helmi, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Tabuan Hilir, Kuching.

Fatmawati, yang mendendangkan lagu "Anggapanmu" (Ziana Zain) membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala, sijil, sebuah komputer riba, dan pakej penginapan di Hotel Merdeka Palace, Kuching. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment