My Add

Tuesday 6 November 2012

AES beri impak positif: Abdul Rahim

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 November, 2012: Kerajaan cukup yakin penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mampu mengurangkan risiko kemalangan berikutan meningkatnya jumlah kenderaan di jalan raya di negara ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, teknologi itu yang diguna pakai di 90 buah negara termasuk Singapura dan Thailand, menunjukkan keberkesanan dan menampakkan kesan positif.

"Risiko akan bertambah apabila bilangan kenderaan meningkat. Jadi kita perlu mekanisme ini untuk menangani masalah kemalangan kerana untuk meletakkan tanggungjawab kepada polis semata-mata adalah sukar," katanya.

Katanya, dengan pertambahan sejuta kenderaan setiap tahun, sistem itu sesuai untuk membentuk sikap berhemah dan berdisiplin di kalangan pengguna jalan raya.

"Pada tahun lalu jumlah kemalangan dicatat sebanyak 450,000 yang mana membabitkan kematian seramai 6,871 orang atau 19 kematian sehari," jelasnya.

Abdul Rahim berkata, keputusan kerajaan melaksanakan sistem itu bukan dilakukan secara terburu-buru sebaliknya melalui beberapa proses termasuk kajian pada tahun 2003 sebelum Kabinet bersetuju mengenai pelaksanaannya pada tahun 2006.

Bagaimanapun, katanya setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk menangguh pelaksanaannya biarpun didesak oleh pelbagai pihak termasuk Anggota Parlimen dan parti politik.

"Saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) juga mahu melihat perkara ini berkesan untuk melindungi rakyat. Apa saja keputusan kerajaan adalah untuk mensejahterakan rakyat.

"Kalau kita tidak buat salah, tidak perlu takut. Apa yang penting kita pandu saja ikut had laju dan jangan membahayakan orang lain di jalan raya," katanya.

Menurut Abdul Rahim, berdasarkan penurunan jumlah saman atau kesalahan yang dilakukan, ia menunjukkan lebih ramai yang sedar berhubung keselamatan di jalan raya.

Pemasangan kamera AES dilakukan secara berperingkat yang mana untuk fasa pertama, kamera berkenaan dipasang di 14 daripada 831 lokasi yang dikenal pasti sebagai lokasi sering berlaku kemalangan maut.

Antara kawasannya ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment