My Add

Sunday 11 November 2012

Agenda lebih besar jika BN diberi mandat

ALOR GAJAH, SABTU, 10 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kesinambungan dalam agenda pembangunan dan transformasi yang lebih besar akan diteruskan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu melihat bagaimana rakyat Amerika Syarikat (AS) memilih Barack Obama untuk memerintah AS bagi tempoh empat tahun lagi atas dasar rakyat negara itu mahukan kesinambungan yang sedia ada diteruskan.

"Saya tertarik dengan keputusan yang dibuat oleh rakyat AS apabila memilih Obama dua hari lalu. Rakyat AS ada dua pilihan sama ada memilih untuk berubah atau meneruskan kesinambungan.

"Apabila rakyat berdepan dengan dua pilihan mereka sebaliknya tidak yakin dengan apa yang dibentangkan oleh calon Republikan kerana tidak nampak masa depan rakyat AS lebih terjamin berbanding jika memilih kerajaan yang sama untuk memerintah.

"Saya percaya ini satu keputusan yang tepat dan bijak dibuat oleh rakyat AS. Bagi rakyat Malaysia jika mereka memilih BN untuk memerintah, kita bukan sahaja janjikan kesinambungan malah membawa transformasi besar dalam pentadbiran negara," katanya.

Perdana Menteri berucap merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Linggi dekat sini hari ini.

RTC Melaka adalah yang ketiga dilancarkan selepas yang pertama di Gopeng, Perak dan Kota Bahru, Kelantan.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Perdana Menteri berkata, janji-janji yang ditabur untuk membawa perubahan kepada negara sebenarnya sekadar janji manis yang tidak dapat ditunaikan oleh pakatan pembangkang.

"Janji hutang PTPTN dihapuskan, janji tol dimansuhkan, janji harga minyak dikurangkan, janji gaji minima tetapi mereka (pembangkang) tidak sebut dari mana hasil diperolehi untuk menunai janji itu," katanya.

Najib berkata, janji-janji kosong itu tidak mungkin dapat ditunaikan malah pakar-pakar ekonomi dari luar negara tidak memberi penilaian kepada Buku Jingga dan Bajet 2013 yang dibentangkan pembangkang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment