My Add

Friday 16 November 2012

Ahli Pas diarah undi calon DAP, PKR

KOTA BHARU, KHAMIS, 15 November, 2012: Pas yang memilih bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencapai matlamat politiknya, mengarahkan ahli-ahli parti itu supaya mengundi calon-calon bukan Islam dalam kalangan pakatan pembangkang.

Keputusan itu dibuat hasil ijtihat ulama Pas yang mendakwa merujuk kepada al-Quran dan hadis, membenarkan tahaluf siyasi dengan parti-parti lain dengan syarat-syaratnya sebagai satu wasilah mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Serentak itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, tugas ulama dalam Pas adalah untuk memberi penjelasan perkara tersebut kepada ahli-ahli parti menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis.

"Dalam masa yang sama juga ulama perlu sentiasa prihatin dengan syarat-syarat tahaluf siyasi yang digariskan.

"Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran kepada syarat-syarat tersebut, ulama perlu segera menegur kepimpinan parti dan memberikan nasihat," katanya dalam ucaptama sempena Muktamar Dewan Ulama Pas Ke-51 di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfudz Mohamad.

Dalam ucapan tersebut, Harun turut menyeru supaya ulama dalam Pas menggunakan media baru sebagai medium dakwah.

"Ulama mesti memberikan respons terhadap isu-isu yang berlaku dalam masyarakat. Tidak cukup hanya dalam kuliah di surau dan masjid serta ceramah, bahkan perlu disiarkan dalam media massa, youtube, blog, web dan media alternatif lain perlu digunakan semaksimum mungkin untuk tujuan tersebut.

"Ulama perlu memanfaatkan media ini bagi membentuk minta rakyat dan cara pemikirannya agar benar-benar menguntungkan Islam di samping mempunyai semangat untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini," katanya.

Dalam pada itu, Harun mengingatkan para ulama dalam Pas agar tidak melobi dan berkempen untuk menjadi calon pilihan raya.

Sebaliknya kata beliau, ulama perlu bersedia sekiranya diberikan amanah oleh kepimpinan parti untuk menjadi calon.

"Calon-calon yang terpilih hendaklah merasakan ini sebagai satu tanggungjawab yang besar dan sentiasa mengambil buah fikiran bermesyuwarah dengan kepimpinan bagi mencapai kemenangan. Ulama-ulama diharap mampu mengisi kemenangan nanti dengan Islam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment