My Add

Tuesday 20 November 2012

Ahli Pas mula tidak percaya Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 November, 2012: Tindakan ahli Pas yang terus menyatakan sokongan supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang diangkat sebagai Perdana Menteri memberi gambaran mereka semakin tidak mempercayai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan pilihan utama pembangkang memegang jawatan itu sebelum ini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perkara itu turut dibuktikan melalui ‘kesediaan’ Abdul Hadi dipilih ke jawatan itu sementara Anwar pula sekadar memberitahu beliau tidak mempunyai sebarang halangan terhadap ‘hasrat’ Abdul Hadi itu.

Walau bagaimanapun, kata beliau, keikhlasan Anwar itu serta kesediaan DAP menerima Abdul Hadi menjadi persoalan besar memandangkan PKR dan DAP sebelum ini sebulat suara mahukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan menjadi Perdana Menteri.

“Kalau Anwar betul-betul menyokong, satu kontrak sosial antara ketiga-tiga parti itu perlu dimeterai dan DAP juga perlu bersetuju hukum hudud dilaksanakan sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 seperti dimahukan Pas," katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas hasrat perwakilan Pas sepanjang muktamar tahunan parti itu sejak beberapa hari lalu yang mahukan Abdul Hadi dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, tindakan Pas mengangkat Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri juga dilihat strategi politik parti itu menarik semula sokongan ahli yang semakin ragu dengan perjuangan parti tersebut.

“Pas berhadapan pelbagai isu kebelakangan ini dan langkah terbaik untuk mereka menyuntik kepercayaan dalam kalangan ahli serta pengundi Melayu adalah dengan memberi harapan bahawa Abdul Hadi bakal memimpin negara," katanya.

Ibrahim berkata, Abdul Hadi sendiri sedar beliau tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri kerana Pas tidak mampu memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

Berdasarkan pilihan raya umum 2008 lalu, katanya, Pas hanya memenangi 23 daripada 66 kerusi yang ditandingi dan beliau percaya jumlah tersebut bakal berkurangan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kalau tidak boleh dapat majoriti kerusi Parlimen bagaimana Pas mahu angkat Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri?

“Abdul Hadi sedar perkara ini, tetapi seperti saya katakan, ini strategi mereka dalam mengekalkan sokongan terhadap Pas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment