My Add

Saturday 17 November 2012

Ahli perniagaan mati ditembak dalam pergaduhan

TAPAH, JUMAAT, 16 November, 2012: Seorang ahli perniagaan mati ditembak dalam satu pergaduhan di Jalan Pahang, di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, S. Manivannan, 37, yang menjalankan perniagaan sewa beli jentera berat meninggal dunia di Hospital Tapah pada 12.15 tengah malam tadi.

"Mangsa yang tinggal di Kampung Baru, Ayer Kuning dipercayai telah bertemu sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Jalan Tapah dan berlaku pergaduhan.

"Mangsa kemudian ditembak oleh dua lelaki yang masing-masing bersenjatakan pistol automatik di beberapa bahagian badan sebelum dua lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua MyVi berwarna putih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh orang awam.

Menurut Abdullah, sejurus selepas kejadian, polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 20 dan 35 tahun di sekitar Pekan Tapah dan kesemua mereka direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Katanya, polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu yang dikenali sebagai K. Vimalan, 33, dari Jalan Temoh, Chenderong dan S.Visnu, 27, dari Taman Kampar Jaya.

"Kedua-dua lelaki itu amat berbahaya kerana memiliki senjata api dan dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes jenayah sebelum ini yang membabitkan rompakan dan dadah.

"Punca kejadian masih belum diketahui dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritenda Mohd. Nasri Fadzir di talian 05- 4015222 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment