My Add

Friday 9 November 2012

Ahmad Zubair fail permohonan batal pertuduhan terhadapnya

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 November, 2012:: Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad (SDB), Datuk Seri Ahmad Zubair@ Ahmad Zubir Murshid, yang didakwa pecah amanah melibatkan RM100 juta, akan memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan terhadapnya.

Permohonan dikemukakan melalui peguamnya yang diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Jagjit Singh Bant Singh di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata, pihaknya akan mengemukakannya di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kevin Anthony Morais telah meminda dua pertuduhan utama terhadap Ahmad Zubair.

Pindaan berkenaan yang sebelum ini menyebut "mengalami kerugian melalui pembayaran cek Maybank..." dipinda kepada "untuk membuat bayaran bernilai...".

Bagaimanapun, Ahmad Zubair mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pindaan berkenaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zubair juga didakwa pertuduhan alternatif iaitu memperdaya ahli lembaga pengarah SDB membabitkan projek pembangunan tanah hak adat Bumiputera (HAB) Sarawak. 

Bagi dua pertuduhan alternatif tersebut, Ahmad Zubair didakwa dalam kapasitinya selaku presiden dan CEO SDB dan bertanggungjawab untuk memperoleh kelulusan ke atas tanah HAB, memperdaya Lembaga Pengarah SDB.

Ahmad Zubair didakwa tidak memaklumkan kepada Lembaga Pengarah bahawa kelulusan tanah HAB kepada SDB yang terletak di dua bahagian kawasan berkenaan, sebaliknya, dianugerahkan kepada Vertical dan Nature Ambience, dengan pengetahuan ia boleh menyebabkan kerugian kepada SDB apabila pengambilalihan dilakukan ke atas dua syarikat itu.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zubair didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby Berhad, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, di sini, antara 17 November 2008 dan 4 Disember 2009. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment