My Add

Monday 5 November 2012

ASEAN mesti bentuk AEC menjelang 2015

SINGAPURA, AHAD, 04 November, 2012: Untuk kekal dinamik, ASEAN harus menunaikan janjinya untuk membentuk sebuah komuniti ekonomi menjelang 2015, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Walaupun terdapat cabaran global, katanya, ASEAN perlu terus berusaha ke arah membangunkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

“Lebih 80 peratus daripada langkah-langkah ekonomi di bawah Fasa 1 dan 2 di dalam Rangka Tindakan AEC bagi tempoh 2008-2011 telah berjaya dilaksanakan.

“Perjanjian Komprehensif ASEAN dilaksanakan pada Mac tahun ini, sementara Akta Kastam telah disemak dan telah dilaksanakan.

“Syarat dan undang-undang terus diringkaskan untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan di wilayah ini," katanya dalam ucapannya di Forum Perniagaan Alumni Asia Boston University di Marina Bay Sands di sini, semalam.

Ucapannya beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mustapa berkata, terdapat banyak cabaran dan ia telah dibincangkan secara terbuka oleh Menteri-menteri Ekonomi ASEAN.

Selain pembangunan dalam ASEAN, menteri itu menyeru sektor swasta dan lain-lain pemegang kepentingan untuk mengkaji peranan ASEAN dalam perspektif yang lebih luas.

Mustapa berkata, ASEAN mempunyai perjanjian dagangan bebas (FT) dengan semua negara-negara Asia Timur, sementara perkaitan ekonominya dengan Kesatuan Eropah, Kanada dan Rusia sedang dipertingkatkan dan inisiatif baru sedang dibentuk. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment