My Add

Wednesday 14 November 2012

Asia perlu beri penekanan tadbir urus yang baik

MELBOURNE, RABU, 14 November, 01: Asia perlu belajar dari krisis di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah dengan memberi lebih penekanan pada tadbir urus baik untuk menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan, kata pakar ekonomi, Tan Sri Dr Ramon Navaratnam.

Katanya penekanan yang lebih diperlukan untuk menjadi lebih berdaya tahan dan kurang bergantung pada pemulihan ekonomi AS dan EU atau kemampanan China.

"Asia perlu memastikan ekonominya ditadbir urus dengan baik dan mempunyai kekuatan serta daya tahan bagi membolehkannya bergerak ke hadapan, walau apapun kejutan yang akan berlaku secara berterusan atau meningkat," katanya kepada Bernama pada akhir Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) di sini hari ini.

Ramon berkata Malaysia perlu lebih berhati-hati menangani masalah defisit dan hutang serta berbelanja dengan bijak di tengah-tengah ketidaktentuan dan kemerosotan ekonomi global.

Katanya, sambil sukar untuk mengurangkan perbelanjaan, kerajaan Malaysia perlu memberi lebih keutamaan menangani rasuah, jenayah dan mengutamakan kroni.

Ramon berkata, walau pun Asia yang diterajui China akan terus memberikan keyakinan di segi tinjauan ekonomi pada tempoh jangka pendek, masih wujud keraguan dan ketidaktentuan sama ada AS akan menyediakan dasar yang betul bagi memastikan ekonominya menjadi lebih stabil.

Ketua Pakar Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas berkata, Asia Pasifik yang diterajui China akan mengalami pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebenar yang lebih pantas menjelang 2020.

Tiga pemacu utama ekonomi di rantau Asia Pasifik ialah China, India dan 10 negara anggota Asean, katanya semasa membuat pembentangan bertajuk "Kejutan Ekonomi Global: Bolehkah China Menjadi Penyelamat di dalam satu Ribut Ekonomi yang Sempurna?"

Perhatian baharu di dalam Asean menjelang 2030 ialah Indonesia, Malaysia, Filipina, dan Thailand, yang akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment