My Add

Monday 26 November 2012

Atasi konflik antara negara dengan rundingan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan konflik antara negara perlu diselesaikan menerusi rundingan, arbitrasi atau proses perundangan, bukan dengan cara berperang.

Sambil mengakui setiap negara akan mempunyai konflik dengan negara lain, Dr Mahathir berkata beliau tidak melihat peperangan sebagai jalan penyelesaian kerana tidak membawa sebarang kebaikan, termasuk kepada pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata manusia bertamadun tidak sepatutnya menggunakan peperangan atau cara membunuh untuk mendapatkan sesuatu.

"Sebaliknya, manusia yang bertamadun seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih sabar dan aman iaitu dengan cara rundingan ataupun ambil pendapat orang ketiga untuk menjadi pengadil atau rujuk ke mana-mana mahkamah antarabangsa untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Dr Mahathir berucap pada jamuan tengah hari yang dihoskan beliau untuk peserta Forum Antarabangsa UMNO kali ketiga bertemakan "Konflik dan Pendamaian Dalam Politik Rakyat - Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan?" sempena Persidangan Agung UMNO 2012 di sini.

Forum dua hari itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO, Malaysia mempunyai pendekatannya sendiri untuk menangani konflik dengan negara-negara jiran, dan bukan diselesaikan dengan peperangan.

Beliau berkata penyelesaian melalui mahkamah antarabangsa bukan selalu mendatangkan keputusan yang memuaskan mana-mana pihak bertelagah, namun mereka perlu bersedia menerima keputusan yang dibuat.

"Dalam sistem manusia bermasyarakat, kita harus terima sistem pengadilan seperti mana bila kita diadili mahkamah. Kalau kita tidak terima sistem mahkamah, akan berlaku hura-hara dalam masyarakat kita," tegasnya.

Dr Mahathir turut berkata penubuhan ASEAN yang kini dianggotai 10 negara rantau Asia Tenggara adalah antara cara mereka menyelesaikan persengketaan melalui rundingan.

Rakyat Malaysia mencintai keamanan dan menolak peperangan, justeru segala pertelingkahan perlu diatasi dengan cara rundingan, tambah beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment