My Add

Sunday 4 November 2012

Australia, Malaysia anjur program budaya

MELBOURNE, AHAD, 04 November, 2012: Menteri Luar Australia, Senator Bob Carr mengumumkan pada Ahad bahawa Australia dan Malaysia akan menganjurkan program pertukaran budaya untuk memberi peluang kepada belia dari kedua-dua negara melawat negara satu sama lain bagi meningkatkan kefahaman tentang budaya dan kepercayaan masyarakat lain.

Carr berkata, program itu adalah sebahagian daripada kempen untuk memupuk persefahaman budaya dalam kalangan penduduk serantau.

"Melalui program pertukaran ini, enam pemimpin muda dari masyarakat Islam Australia akan berkunjung ke Malaysia untuk bertemu dengan kumpulan dan komuniti kebangsaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dari Canberra.

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman di Kota Kinabalu, Sabah.

Carr berkata, enam pemimpin muda masyarakat Melayu pula akan berkunjung ke Australia untuk meninjau nilai dan budaya masyarakat negara ini.

"Program ini diadakan berikutan kejayaan program serupa yang diadakan antara Australia dan Indonesia serta Thailand. Ia penting dalam usaha untuk mempertemukan masyarakat bagi memupuk kefahaman mereka tentang budaya satu sama lain,” katanya.

Carr juga berkata perbincangan beliau dengan Anifah turut meliputi hubungan Australia-Malaysia dalam bidang pendidikan, pertahanan dan perdagangan, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas (MAFTA) yang ditandatangani kedua-dua negara pada Mei 2012. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment