My Add

Saturday 10 November 2012

Bakti sumbang RM10,000 ringankan beban mangsa banjir

*ROSMAH Mansor (dua dari kanan) bersama Saripah Zulkifli (kanan) membantu sukarelawan memasak makanan untuk mangsa-mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak, semalam.

TELUK INTAN, JUMAAT, 09 November, 2012: Bagi meringankan beban mangsa banjir di Hilir Perak, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) hari ini menyalurkan sumbangan RM10,000.

Isteri Perdana Menteri selaku Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan kepada mangsa banjir di daerah itu melalui Badan Amal dan usaha Isteri-isteri Wakil Rakyat Perak (Baiduri).

Beliau yang meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong di sini memberitahu, bantuan tersebut akan disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban mangsa ekoran bencana tersebut.

''Saya bersyukur kerana dapat hadir di Changkat Jong dan berjumpa serta melihat sendiri keadaan mangsa-mangsa banjir di sini.

''Apa yang saya lihat semua keperluan di sini cukup dari segi makanan dan barangan keperluan lain. Saya berharap selepas banjir pulih, mereka segera mendapatkan pemeriksaan bagi memastikan tahap kesihatan masing-masing," katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu, Yang Dipertua Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Sempena lawatan itu, Rosmah turut meluangkan masa membantu kerja-kerja memasak dan makan tengah hari bersama mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah berkenaan.

Dalam lawatan tersebut, Rosmah bagi pihak Majlis Keselamatan Negara turut menyampaikan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap 41 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan itu.

Rosmah dalam ucapannya turut menyampaikan salam dan permohonan maaf Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak dapat hadir.

''Suami saya pesan untuk kirim salam kepada mangsa-mangsa banjir. Beliau tidak dapat hadir dan minta saya datang ke sini secepat mungkin," katanya.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Datuk Chong Phaik Kee pula berkata, keadaan banjir di daerah itu semakin pulih dan kesemua 134 mangsa banjir dijangka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment