My Add

Thursday 15 November 2012

Bangunkan negara, komuniti setempat walau berbeza politik

KUALA LUMPUR, RABU, 14 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat tanpa mengira kecenderungan politik bersama-sama memperbaiki sistem komuniti setempat dan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa melalui perkongsian idea bernas.

Perdana Menteri percaya masyarakat terutama golongan belia mempunyai tenaga serta idea hebat untuk dikemukakan serta berupaya mentransformasikan negara sehingga di peringkat akar umbi.

"Kita perlu bersama-sama memacu negara ini ke hadapan tanpa mengira fahaman politik, Malaysia tempat kita dilahirkan dan tinggal.

"Kita perlu memperkembangkan idea, perkara penting ialah membawa negara ini ke hadapan dan beberapa idea hebat telah dibincang dan boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau berucap selepas mengadakan pertemuan dengan sebanyak 48 peserta perbincangan terdiri daripada para pemimpin muda, pegawai kanan agensi media tempatan dan penulis blog muda serta kumpulan pemikir daripada kalangan belia.

Sebelum itu, para peserta perbincangan tersebut membentuk peta lakaran minda dalam beberapa kumpulan kecil berhubung idea seperti menambah baik sistem khidmat pelanggan, pendidikan, kebersihan dan pelancongan.

Dalam majlis itu, Najib turut melancarkan laman web www.challenge.my serta pertandingan 'Cabaran Genovasi' bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam menambah baik komuniti melalui perkongsian pendapat.

Sementara itu, Najib dalam sesi soal jawab menegaskan, beliau serius dalam usaha mentransformasi negara dengan mengambil kira pandangan rakyat termasuk generasi muda.

"Idea dalam perbincangan ini memang boleh dilaksanakan, bukan khayalan tetapi boleh diterjemah dan perlu diteruskan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment