My Add

Wednesday 7 November 2012

Bank Malaysia tidak terjejas

 Abdul Wahid Omar
Oleh Mustafa Kamal Basri
VIENTIANE, SELASA,, 06 November, 2012:Bank-bank tempatan di Malaysia tidak terjejas akibat krisis kewangan dan ekonomi yang sedang melanda Eropah pada masa ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, bank-bank Malaysia tidak terjejas dengan krisis Zon Euro sekarang, memandangkan Malaysia mempunyai sistem perbankan yang mantap, selain bank-bank tempatan kurang penglibatan dengan bank-bank di Eropah.

Selain itu, ia disokong oleh kedudukan ekonomi Malaysia yang kukuh serta kedudukan kewangan bank-bank tempatan itu sendiri yang kukuh serta disokong oleh fundamental yang mantap, katanya kepada pemberita Malaysia yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEM 2012 di sini hari ini.

“Ekonomi kita (Malaysia) berkembang dengan pesat dan sistem kewangan kita cekap serta kita mempunyai sistem tadbir urus kewangan yang efektif oleh Bank Negara yang melaksanakan peraturan-peraturan kewangan yang berkesan," katanya .

Beliau bagaimanapun tidak menafikan krisis ekonomi dan kewangan di Eropah sekarang, sedikit sebanyak memberi kesan kepada sektor eksport dan eksport produk-produk pengguna ke Eropah.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan Maybank, Wahid berkata, Maybank merancang menguasai antara tiga peratus dan lima peratus pasaran industri perbankan di semua negara yang ia telah mempunyai operasi di luar negara terutama di rantau ASEAN.

Katanya, Maybank merancang membuka lebih 100 cawangan lagi di negara-negara ASEAN dalam tempoh tiga tahun lagi bagi mencapai sasaran itu.

Wahid berkata, Maybank merancang membuka 450 cawangan di Indonesia daripada 380 cawangan pada masa ini dan 13 cawangan lagi di Singapura menjadikan jumlahnya 35 cawangan di republik itu.

“Kami yakin dengan masa depan ASEAN terutama dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN pada 2015. Sehubungan itu, adalah penting bagi Maybank melengkapkan dan mengembangkan kehadirannya di rantau ini.

“Dengan cara ini, kami boleh memainkan peranan yang lebih efektif bagi menyediakan kemudahan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib merasmikan pembukaan cawangan pertama Maybank di Laos di sini sekali gus melengkapkan kehadiran Maybank di semua 10 negara anggota ASEAN, katanya.

Maybank, katanya, merancang membuka lima lagi cawangan di Laos.

Sementara itu, di Kemboja , Maybank merancang membuka 11 cawangan lagi daripada sembilan buah pada masa ini dan di Filipina sebanyak 100 cawangan lagi akan dibuka dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya.

‘‘Kami percaya pasaran ASEAN akan terus berkembang dan amat penting rantau ini mendapat sokongan dana daripada bank-bank yang kukuh yang boleh merancakkan aktiviti perdagangan dan pelaburan antara ASEAN," tambah beliau.

Selain, bank-bank Malaysia, katanya, bank-bank kukuh dari Singapura juga perlu memperluaskan sayapnya di negara-negara ASEAN bagi mencapai matlamat itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment