My Add

Sunday, 11 November 2012

Bekas atlit negara bakal latih pelajar sekolah tahun depan: YAKEB

GEORGETOWN, AHAD, 11 November, 2012:: Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (YAKEB) bakal menempatkan bekas atlit negara di sekolah di seluruh negara bagi melatih pelajar dalam bidang sukan mengikut kepakaran masing-masing.

Pengerusi YAKEB, Datuk Jamil Salleh berkata, untuk permulaan, 10 sekolah rendah dan menengah sekitar Lembah Klang akan dipilih sebagai projek perintis untuk program yang dijangka bermula Januari depan.

"YAKEB sedang berunding dengan Kementerian Pelajaran bagi membolehkan perkara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita pada Program YAKEB Turun Padang, di sini, malam tadi.

Jamil berkata, berbekalkan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki bekas atlit berkenaan, beliau yakin bakat baru dalam pelbagai bidang sukan dapat dicungkil dan digilap pada peringkat awal.

"Dalam projek perintis ini setiap sekolah akan menerima dua jurulatih yang akan melatih pelajar mengikut bidang sukan yang berpotensi menaikkan nama sekolah dan mengupayakan mereka mewakili negara pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, projek perintis itu akan berjalan selama tiga bulan sebelum diperluas ke semua sekolah seluruh negara.

Jamil berkata, program itu khusus untuk bekas atlit yang berdaftar dengan YAKEB dan setakat ini yayasan itu mempunyai 1,700 ahli sejak ditubuhkan pada 2007.
Katanya, jurulatih yang terpilih akan diberi kursus bagi memastikan tugas dilaksana mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Jamil menyarankan bekas atlit kebangsaan mendaftar dengan YAKEB bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Beliau berkata, YAKEB sudah mengenal pasti kira-kira 1,000 bekas atlit yang masih belum mendaftar dan sedang menjejaki mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment