My Add

Monday 5 November 2012

Bekas pengurus skim pulangan balik ternakan lintah didakwa

SHAH ALAM, ISNIN, 05 November, 2012: Seorang bekas pengurus Syarikat Hidayyah Management & Services Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 membabitkan pembelian kepentingan dalam skim pulangan balik penternakan lintah tanpa kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Azman Shah Abd Hamid, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim G Ramesh.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa menawarkan kepada orang awam untuk membeli kepentingan iaitu skim pulangan balik penternakan lintah, sedangkan sewaktu tawaran itu dibuat tidak terdapat surat ikatan yang diluluskan oleh SSM.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikat Hidayyah Management & Services di No: 38, Jalan Bendahara 1, Taman Bendahara, Kuala Selangor, antara 1 Jun 2008 hingga 31 Disember 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Azman juga didakwa menyebabkan syarikat Hidayyah Management & Services menawarkan kepada orang awam untuk membeli syer syarikat itu melalui skim sama, sedangkan ketika tawaran itu dibuat syarikat terbabit tidak menjalankan perniagaan jual beli syer yang mana tawaran itu dilarang dibuat mengikut Seksyen 363(3) Akta Syarikat 1965.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada alamat dan tarikh sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363(6) Akta Syarikat dan boleh dihukum mengikut Seksyen 363 (5) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda RM250,000, jika sabit kesalahan.

Hakim Ramesh membenarkan Azman dibebaskan dengan jaminan RM14,000 serta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Beliau juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada SSM, Nik Zunaidi Zakaria dan Mohd Zulkhairi Kamaruzaman sementara tertuduh diwakili peguam T L Chen. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment