My Add

Monday 19 November 2012

Bercanggah dengan agama - TPM

GOLD COAST, AHAD, 18 November, 012: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Pas bukanlah sebuah parti Islam sejati apabila bertindak mendoakan kehancuran ke atas umat Islam yang lain.

Muhyiddin berkata, walaupun dalam politik ada pelbagai perbezaan pandangan, tetapi perbuatan mendoakan kehancuran ke atas orang Islam lain amat bercanggah dengan ajaran Islam.

''Saya tidak tahulah kalau mendoakan agar umat Islam lain berpecah itu budaya dan amalan Pas. Biasanya, kita berdoa memohon restu Allah SWT agar mendapat taufik dan hidayah serta kebaikan.

''Perbezaan politik atau parti berbeza tidak mengapa. Kita di Malaysia mengamalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan dalam UMNO pun ada, Pas pun ada. Tetapi kalau berdoa untuk jahanamkan kita, itu bukan Islam sejati," tegasnya dalam sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas doa menjahanamkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dibacakan dalam majlis solat hajat di Stadium Muhamad Ke-IV sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-58 di Kota Bharu malam kelmarin.

Doa yang dibacakan oleh Nik Razi Nik Mat, iaitu adik kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas solat hajat itu antara lain memohon agar Allah SWT menjahanamkan UMNO dan BN sebagaimana Allah memusnahkan Firaun, Qarun, Namrud serta Abu Lahab.

Muhyiddin menegaskan, UMNO sejak awal penubuhannya telah berjuang untuk umat Islam di negara ini dan nikmatnya turut dirasai oleh semua orang termasuk ahli Pas dan DAP.

''Pas dapat nikmat hasil perjuangan UMNO. DAP pun dapat nikmat hasil perjuangan UMNO. Tapi kita tak pernah berdoa minta sesiapa rosak atau minta Pas dijahanamkan kerana kita dididik dengan ajaran Islam yang betul,'' katanya.

Kepada soalan berhubung cadangan agar Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga anak kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Abduh mahu bertanding di Pagoh, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, dalam sistem demokrasi sesiapa atau parti politik boleh bertanding di mana-mana sahaja yang mereka mahu.

''Saya tidak mahu bersikap takbur. UMNO tidak gentar, sesiapa pun boleh bertanding, lebih ramai lebih meriah. Rakyat akan membuat penilaian terbaik," = UTUSAN

No comments:

Post a Comment