My Add

Friday 16 November 2012


Bina kekuatan ummah - PM

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN dan SHARAIMEI SHAIK  
 *NAJIB Tun Razak ketika menyertai majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. Turut sama Abdullah Ahmad Badawi dan Jamil Khir Baharom. - BERNAMA
PUTRAJAYA, KHAMIS, 15 NovEMBER, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan umat Islam di negara ini menghayati sifat mulia kaum Muhajirin dan Ansar demi membina perpaduan serta kekuatan ummah sempena sambutan Maal Hijrah 1434H tahun ini.

Perdana Menteri berkata, persaudaraan yang tercipta di antara kaum Muhajirin dan Ansar dalam peristiwa hijrah itu perlu dijadikan pengajaran tentang bagaimana mereka membina sebuah ikatan perpaduan yang tulen.

Sehubungan itu, Najib menyarankan umat Islam menyingkirkan sifat-sifat yang membawa kepada perpecahan sebaliknya mencari titik persamaan untuk memupuk perpaduan dan mengukukuhkan persaudaraan.

"Perpaduan ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil berlaku kerana telah dibuktikan dalam peristiwa hijrah itu sendiri.

"Suatu yang indah daripada sifat mulia kaum Muhajirin ialah mereka menerima dan bersyukur apa yang ada kerana mereka tidak membawa apa-apa sebab mereka berhijrah, sementara kaum Ansar sanggup menerima dan bersama, membantu kaum Muhajirin sebagai saudara mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk, Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.

Najib turut menegaskan bahawa perpaduan itu memerlukan pengorbanan; keikhlasan dan semangat penerimaan yang mendalam; mencari kebaikan bukan keburukan serta kesempurnaan bukan kecacatan; sentiasa meraikan ; memuji; menasihati; menegur; dan jauh sekalimeminggir, memaki, menghina atau pun menfitnah.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, terdapat beberapa syarat perlu dijadikan landasan untuk memastikan hijrah dalam konteks transformasi pemikiran sikap, amal, peribadi dan pentadbiran negara mencapai kejayaan.

"Antaranya, menjadikan Rasulullah SAW sebagai model dan ikutan kerana sesungguhnya Rasulullah insan yang cukup sempurna dari segi akhlak, kepimpinan, pemikiran dan pendekatan harus jadi ikutan kepada semua.

"Seterusnya berpandukan pada prinsip wasatiyyah yakni seimbang, adil, saksama dan tidak melampau untuk mencapai objektif kecemerlangan," katanya.

Selain itu, Najib berkata, transformasi juga mesti dilakukan secara inklusif yakni melibatkan rakyat di setiap peringkat sebagaimana dalam peristiwa hijrah.

"Semua mempunyai peranan masing-masing, golongan tua dan muda, lelaki dan wanita, termasuk juga masyarakat bukan Islam," katanya.

Beliau turut memberitahu transformasi juga mesti bersifat dinamik dan stabil apabila melakukan perubahan iaitu dengan mengekalkan nilai-nilai murni seperti akidah, syariah dan akhlak mulia.

Tegas beliau, bukanlah transformasi namanya jika perubahan itu membawa kepada kemudaratam keruntuhan akidah, seperti isu hangat yang diperkatakan sekarang melibatkan penggunaan ayat 256 Surah Al-Baqarah.

"Ini menimbulkan kekeliruan akidah yang amat serius dalam masyarakat kita, yang ini mesti dibetulkan dan tidak boleh dibenarkan fahaman liberalisme seperti itu menular dalam masyarakat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment