My Add

Saturday 10 November 2012

BN akan pertahan sekolah Cina

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 November, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah-sekolah Cina di negara ini akan terus dipertahankan di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN)

Dalam masa yang sama, kata Timbalan Perdana Menteri, sekolah aliran lain seperti sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah agama rakyat pula akan diperkukuhkan selaras dengan Sistem Pendidikan Nasional.

Menurut beliau, matlamat itu selari dengan sasaran kerajaan untuk memastikan tiada seorang pun kanak-kanak di negara ini, tanpa mengira bangsa dan agama tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti.

Tambahnya, kerajaan juga akan terus menyalur membantu pembangunan sekolah-sekolah Cina berdasarkan keperluan sebenar komuniti tersebut.

"Sekolah Cina sudah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara, seperti mana jaminan pemimpin dahulu dan sekarang.

"Tiada negara lain di luar negara China dan negara lain yang bertutur dalam bahasa itu menerima sokongan kukuh seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Ia hanya berlaku di Malaysia.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya kita mampu menghargai semangat, sefahaman, toleransi dan menghormatinya," katanya ketika berucap semasa merasmikan Pameran Buku Cina Sedunia kali keempat di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Pengasas Bandar Heights Holdings Bhd. yang juga pengerusi pameran buku tersebut, Tan Sri Lee Kim Yew.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menyeru komuniti Cina agar tidak terpedaya dengan pihak tertentu yang menjadikan pendidikan sebagai agenda politik mereka.

"Pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan. Pendidikan penting untuk masa depan anak-anak kita dan janganlah kita memperjudikan nasib mereka demi kepentingan politik jangka pendek," tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan masyarakat Malaysia supaya tidak lupa bahawa pendidikan telah memainkan peranan untuk menyatukan semua kaum di negara ini.

"Mari kita menjadikan semua sekolah di negara ini sebagai tempat penyatuan, yang mana kanak-kanak tanpa mengira kaum boleh bersama-sama, belajar menerima perbezaan dan menghormati antara satu sama lain.

"Malaysia telah membina teras memahami, toleransi serta menghormati pelbagai kaum dan tidak ada alasan bagi kita untuk tidak meneruskan teras ini untuk menjadi sebuah bangsa bersatu, membangun dan sejahtera pada masa depan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment