My Add

Wednesday 21 November 2012

BN tekad pertahan kerusi Parlimen Beaufort pada PRU-13: Muhyiddin
KUALA PENYU, RABU, 21 November, 2012: (Sabah): Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) bertekad untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort pada pilihan raya umum ke-13 berikutan tindakan penyandangnya yang meletak semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata Parlimen Beaufort yang diwakili Datuk Seri Lajim Ukin pada pilihan raya umum 2008 harus kekal di pangkuan parti itu berdasarkan komitmen dan kesungguhan kerajaan membangunkan kawasan itu selama ini.

"Kerusi BN di sini bukan lagi BN. Dia (Lajim) bukan lagi bersama BN... yang mustahak kembalikan semula kerusi ini kepada kerusi BN, kita ambil semula tidak kira Lajim bertanding atau tidak, kita tawan semula," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama rakyat di padang pekan Kuala Penyu di sini, hari ini.

Majlis yang dimeriahkan oleh lebih 8,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Azizah Mohd Dun, pemangku Pengerusi UMNO Beaufort, Isnin Aliasneh dan Adun Kuala Penyu, John Teo Mau Sing.

Muhyiddin berkata, BN secara hakikatnya sentiasa kukuh dan tidak tergugat dengan apa yang berlaku, termasuk tindakan Lajim yang menubuhkan pertubuhan bersifat menyokong pembangkang.

Beliau berkata, rakyat Sabah khususnya di kawasan Beaufort harus bijak menilai kepimpinan yang boleh menjamin kemajuan berterusan setelah wakil rakyat yang dipilih mereka atas tiket BN bertukar haluan.

"Tiada gunanya kita bersedih. Biarlah dia pergi... yang penting bukan dia, tapi yang penting nasib saudara dan masa depan saudara," katanya.
Muhyiddin turut melontarkan persoalan kepada penduduk kawasan itu mengenai kedudukan sebenar asas perjuangan Lajim sama ada beliau dapat membawa peruntukan besar bagi pembangunan di daerah itu tanpa bersama kerajaan.

Beliau berkata, rakyat harus percaya kerajaan negeri mahupun persekutuan berupaya melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara ini jika diberi kepercayaan sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

"Banyak orang tanya saya... bila pilihan raya umum Tan Sri, sebab kami tidak sabar keluar mengundi untuk BN. Kenapa tidak, sebab perjuangan BN itu panjang sejak Merdeka 1957.

"Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang dihormati dan disegani, kecil saja dalam global seperti cili padi (dalam peta), tetapi dalam tempoh beberapa tahun kita berusaha menyelesaikan banyak masalah pokok termasuk kadar kemiskinan nasional di tahap tiga peratus dan Sabah dulu 70 peratus sekarang saya rasa kurang 10 peratus," katanya.

Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya mencipta pelbagai kejayaan dalam program transformasi yang meningkatkan peluang pekerjaan dalam pelbagai industri dan sektor lain berkembang maju.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pelbagai projek kecil di daerah itu dan merasmikan pemasangan paip baru bernilai RM49 juta dari Limbawang ke Kayul. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment