My Add

Wednesday 21 November 2012

Bukan sesuatu yang pelik jika ahli Pas mahu Hadi jadi PM

 MOHD Amar Nik Abdullah
KOTA BAHARU, RABU, 21 November, 2012- Pas Kelantan berkata bukan sesuatu yang pelik jika anggota parti itu mahu presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi perdana menteri jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pandangan anggota akar umbi pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58 baru-baru ini akan dibincangkan pucuk pimpinan demi menghormati pandangan itu.

"Kalau anggota parti yang mahukan presiden parti lain jadi perdana menteri, itu sesuatu yang peliklah," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat Akademi Limkokwing Kelantan sempena hari terbuka akademi itu di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri berkata Pas Kelantan menganggap ia bukan satu isu besar dan mengakui hasrat akar umbi itu tidak semestinya boleh menjadi kenyataan.

Beliau mendakwa dalam persepakatan hubungan pembangkang tidak pernah membincangkan secara rasmi siapa sebenarnya yang layak menjadi perdana menteri.

"Pimpinan pakatan tidak bincang soal ini secara rasmi atau ketetapan rasmi tetapi lebih kepada persefahaman. Pendirian Pas adalah jelas perdana menteri mestilah seorang Islam dan dia mesti menang dalam pilihan raya. Persoalan siapa perdana menteri itu soal kedua," katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan hudud, Mohd Amar berkata pelaksanaan hukum itu sememangnya merupakan cita-cita Pas dan untuk merealisasikan hasrat itu, Pas Kelantan mewujudkan sebuah jawatankuasa teknikal mengenai hudud di peringkat negeri Oktober tahun lepas.

"Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak dua kali yang hanya membincangkan daripada aspek teknikal dan hala tujunya," katanya yang merupakan timbalan pengerusi kepada jawatankuasa itu.

Isu hukum hudud kembali panas pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58 baru-baru ini apabila Dewan Ulama Pas bertegas hukum itu akan dilaksanakan jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

Kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Harun Taib itu dibantah rakan sekutu mereka daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengatakan pelaksanaan hukum itu tidak pernah dibincangkan dalam persepakatan gabungan pembangkang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment