My Add

Tuesday 27 November 2012

Cubaan timbulkan kebencian

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKARdan SARAH NADLIN ROHIM
KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 2012: Tindakan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membantah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 merupakan perbuatan subversif terancang bagi menimbulkan kebencian masyarakat Cina kepada kerajaan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sentimen berbentuk penipuan yang ditimbulkan Dong Zong kononnya PPPM akan mengetepikan kepentingan pendidikan Cina amat 'laku' untuk dijaja kepada masyarakat Tionghua tempatan.

Lebih buruk, dakwanya, perbuatan itu merupakan modal politik pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang yang didalangi DAP.

"Penipuan yang dilakukan oleh Dong Zong kononnya pendidikan masyarakat Cina akan diketepikan dalam PPPM amat tidak wajar dan memalukan kerana dakwaan yang amat sensitif kepada masyarakat Cina tempatan itu boleh menyebabkan mereka membenci kerajaan.

"Melalui gambar-gambar perhimpunan anjuran Dong Zong semalam, kita dapat lihat bendera (berbentuk) roket turut dikibarkan, jadi kita tahu DAP juga berperanan dalam usaha tidak sihat ini," katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas langkah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menempelak Dong Zong kerana pertubuhan itu sering menuduh segala pembaharuan pendidikan oleh kerajaan seperti PPPM 2013-2025 bertujuan untuk merosakkan bahasa Cina dan masa depan sekolah aliran tersebut.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sejak negara merdeka 55 tahun lalu, kerajaan tidak pernah meminggirkan sekolah Cina apatah lagi mahu merosakkan bahasa ibunda kaum itu, sebaliknya segala kekurangan yang ada segera ditampung bagi memastikan pendidikan tersebut tidak terjejas.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, tindakan Dong Zong sengaja tidak mahu memahami langkah kerajaan memperkenalkan PPPM adalah tidak wajar sama sekali.

"Tindakan Dong Zong itu boleh dianggap 'cauvinis' kerana hanya mementingkan kaum Cina sahaja tanpa memikirkan agenda nasional yang lebih besar melibatkan semua kaum di Malaysia.

"Oleh itu, langkah menempelak mereka adalah wajar. Kita tidak pertikai hak mereka untuk mempertahankan kaum Cina tetapi pada masa sama, Dong Zong perlu melihat dalam konteks lebih luas bagi mengurangkan jurang antara kaum," jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abd. Karim berkata, mereka menyokong penuh dan bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri dalam isu Dong Zong semalam kerana menjadi adat mereka membuat tuntutan bukan-bukan menjelang pilihan raya.

"Transformasi pendidikan negara sedang berada dalam landasan yang tepat dan tempohnya cukup sesuai.

''Walaupun tidak semua tuntutan GPMS diterima oleh PPPM, namun kami percaya kepada kaedah perundingan yang masih berlangsung," katanya.

Jais berkata, Dong Zong sepatutnya bersyukur dengan jaminan diberi oleh Muhyiddin dan digesa berfikir serta bertindak secara profesional dan rasional dalam membicarakan isu pendidikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment