My Add

Tuesday 20 November 2012

DAP hina, aibkan pemimpin Pas

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 November, 012: DAP dianggap menghina dan mengaibkan kepimpinan Pas apabila parti itu menegaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, pendirian DAP seperti yang dinyatakan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng itu jelas mengetepikan cadangan akar umbi Pas yang mahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah memberitahu, DAP seolah-olah berpendirian pemimpin Pas tidak mempunyai kaliber menerajui pemerintahan negara.

“Pendirian DAP itu satu perkara yang melucukan kerana Pas masih menganggap DAP lebih suci daripada parti-parti Islam yang lain walaupun DAP terang-terangan memperlekeh kewibawaan pemimpin Pas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng hari ini mengulangi pendirian DAP bahawa seperti yang telah dipersetujui pakatan pembangkang, Anwar merupakan calon Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

Menurut Guan Eng, setakat ini, keputusan itu tidak berubah dan isu siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri tidak perlu dibangkitkan lagi.

Dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58 di Kota Bharu, Kelantan kelmarin, Dewan Ulama Pas Pusat menerusi wakilnya, Hairun Nizam menggesa Abdul Hadi diangkat sebagai Perdana Menteri dan gesaan itu diulangi semalam oleh Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan wakil Dewan Muslimat Pas Pusat, Aiman Atirah Al-Jundi.

Zamil menambah, DAP mungkin mempunyai sebab-sebab tertentu sehingga menganggap Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri, bukannya Abdul Hadi.

“Mungkin juga Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu Anwar menjadi Perdana Menteri kerana semua tahu beliau ada bukti kukuh tentang kegiatan liwat Anwar seperti yang pernah disebut Karpal pada Oktober 1997 di Parlimen dan di Hotel Federal, Kuala Lumpur," katanya.

Jelas beliau, persoalan utama yang perlu dijawab ahli Pas ialah siapa lebih layak menjadi Perdana Menteri kerana Abdul Hadi dipilih sebagai Presiden Pas melalui proses pemilihan manakala jawatan Anwar dalam PKR adalah atas lantikan Presiden PKR yang juga isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu, kata Zamil, kedudukan Abdul Hadi adalah lebih mulia daripada Anwar kerana dipilih ahli Pas menerusi proses demokrasi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment