My Add

Wednesday 21 November 2012

DAP tetap mahu Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 November, 201: Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw senada dengan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Seng Giaw memberitahu, keputusan mengangkat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah dipersetujui bersama dan keputusan tersebut kekal.

"Kepimpinan pakatan pembangkang sudah membuat keputusan bahawa sekiranya kami memenangi pilihan raya umum akan datang, calon Perdana Menteri ialah Anwar. Itu sahaja, keputusan telah dibuat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Pada muktamar tahunan Pas minggu lalu, perwakilan parti itu yang terdiri daripada ahli-ahli akar umbinya mencadangkan Presidennya, Abdul Hadi Awang wajar diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU-13.

Ahli-ahli akar umbi parti itu beranggapan, Abdul Hadi merupakan individu paling layak memimpin negara dan bukannya Anwar.

Bagaimanapun, perkara tersebut jelas bertentangan dengan dasar dan persetujuan yang dicapai dalam pakatan pembangkang sebelum ini yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menegaskan bahawa Anwar tetap menjadi pilihan utama sebagai Perdana Menteri dan bukannya Abdul Hadi.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua memberitahu, pakatan pembangkang sepakat mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Soal Abdul Hadi jadi Perdana Menteri itu bukannya dibawa oleh Pas tetapi perwakilan mereka sahaja. Tidak timbul isu siapa akan jadi Perdana Menteri kerana kami sudah sepakat kalau mendapat majoriti pada pilihan raya umum akan datang, Anwar bakal menjadi Perdana Menteri," jelasnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, sekiranya Pas mendapat majoriti kerusi pada pilihan raya umum akan datang, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam musyawarah pakatan pembangkang.

"Soal siapa akan jadi Perdana Menteri, kita tentukan selepas pilihan raya. Apa yang penting ketika ini Pas perlu perkemaskan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment