My Add

Saturday 10 November 2012

Dasar jelas perlu untuk lindungi media

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 November, 2012: Dasar media yang tidak jelas dalam melindungi kedudukan pengamalnya membuka ruang dan peluang yang mudah untuk individu dan pihak oportunis membuat tuntutan saman.

Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Azahar Kasim berkata, sehubungan itu, Majlis Media Malaysia perlu memperkenalkan dasar yang jelas dan konsisten bagi memastikan setiap tindakan dikenakan kepada media mendapat pembelaan sewajarnya.

“Peranan media adalah melaporkan apa-apa sahaja yang diperkatakan dan dalam masa sama menyampaikan maklumat kepada golongan sasaran supaya mereka faham.

“Meskipun ketika ini dasar media telah wujud, tetapi polisi itu tidak lengkap dan tidak konsisten sehinggakan hak pihak media di dalam mahkamah tidak dilindungi. Media terpaksa mendedahkan sumber mereka di mahkamah dan ini akan menyulitkan keadaan pada masa depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas trend semasa individu tertentu menyaman media termasuk tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataan kebebasan agamanya baru-baru ini yang disifatkan fitnah.

Tambah Azahar, sewaktu era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, media telah diiktiraf memiliki kebebasan dengan acuan sendiri sesuai dengan keunikan pelbagai kaum di negara ini.

“Namun kebebasan tersebut telah dicabuli oleh liberalisasi apabila wujudnya blog dan sebagainya yang menulis pelbagai perkara tanpa batasan.

“Kita boleh mengambil contoh Indonesia yang telah mempunyai Dewan Pers yang merupakan badan pembuat polisi dan dasar media di negara itu, walaupun pada hakikatnya mereka terlampau bebas, tetapi dewan itu merupakan badan terasing daripada pengaruh kerajaan," jelasnya.

Dalam pada itu, pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Dr. Ahmad Murad Merican turut mencadangkan penubuhan tribunal media bagi mengelakkan lambakan kes-kes saman di mahkamah.

Katanya, walaupun tidak mempunyai kuasa seperti mahkamah tetapi tribunal itu boleh menegur atau mendenda media yang didapati bersalah dalam sesuatu perkara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment