My Add

Friday 16 November 2012

Diaspora profesional digesa tampil

 *MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan saintis dan sebahagian pelajar Malaysia selepas merasmikan Diaspora Saintifik Malaysia di Gold Coast, Australia semalam. Turut hadir Mohamed Khaled Nordin (dua kiri). - BERNAMA
GOLD COAST, KHAMIS, 15 November, 2012: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bakat-bakat diaspora profesional Malaysia di seluruh dunia tampil mengambil bahagian dalam pembangunan negara.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 1 juta rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di luar negara dengan satu pertiga daripadanya adalah pekerja mahir berusia 25 tahun ke atas yang mempunyai kelulusan universiti.

''Malaysia mungkin berjaya menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi kelas dunia tetapi globalisasi serta peningkatan pergerakan modal insan di seluruh dunia menyebabkan Malaysia terpaksa bersaing dengan pasaran antarabangsa bagi mendapatkan tenaga kerja sendiri.

''Oleh kerana itu kita terpaksa memikirkan cara baru untuk menggunakan bakat-bakat profesional ini bagi membangunkan negara," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Rangkaian Diaspora Saintifik Malaysia (MSDN) di Sheraton Mirage Resorts and Spa, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja sembilan hari ke Melbourne, Brisbane dan Gold Coast bermula 10 November lalu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, 46 peratus warganegara Malaysia tinggal dan bekerja di Singapura, Australia (12 peratus), Brunei (sembilan peratus), Amerika Syarikat dan Britain (lapan peratus) manakala tiga peratus lagi di Kanada.

Beliau berkata, profesional Malaysia di seberang laut bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi seperti perbankan, pembinaan, kejuruteraan, perubatan, undang-undang serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Katanya, ada juga dalam kalangan mereka menjadi pensyarah atau penyelidik di institusi pengajian tinggi manakala sebahagiannya pula menjalankan perniagaan sendiri.

''Dengan kekuatan 1 juta diaspora di sebarang laut yang mana 120,000 berada di Australia, saya percaya MSDN akan menjadi platform penting untuk menghubungkan para saintis Malaysia di seluruh dunia.

''Mereka boleh bekerjasama menjalankan penyelidikan dalam bidang-bidang yang mereka pakar dan sudah tentunya ini akan memberi faedah besar kepada negara," tegasnya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, komuniti saintifik Malaysia global itu juga boleh menggunakan rangkaian tersebut untuk membincangkan isu-isu penyelidikan, menjadi suara yang mewakili komuniti itu seluruh dunia dan menyediakan idea-idea bernilai bagi memajukan lagi penyelidikan dan pembangunan saintifik.

Selain itu katanya, MSDN juga boleh membantu meningkatkan lagi kerjasama dalam penyelidikan dan perkongsian ilmu serta memberi tunjuk ajar kepada para penyelidik muda.

Muhyiddin berkata, rangkaian itu akan melibatkan penyelidik Malaysia yang bekerja di Australia, rakyat bukan warganegara yang bekerja di Australia tetapi berminat untuk bekerjasama dengan para penyelidik tempatan selain para penyelidik rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang bekerja di Malaysia.

Sementara di Australia pula kata beliau, MSDN berperanan sebagai platform untuk berhubung dengan agensi-agensi di sini seperti Akademi Sains Australia, Akademi Teknologi Sains dan Kejuruteraan, Australia serta Akademi Sains Sosial Australia.

Muhyiddin berkata, MSDN menawarkan pelbagai faedah termasuk pendedahan dalam bidang pendidikan, teknologi dan perniagaan secara global, menyediakan input bagi penggubalan dasar dan pelan strategik negara, peluang-peluang kerjasama dan rakan kongsi selain menyertai forum akademik dan perniagaan, runding cara, seminar serta dialog.

''Kerajaan percaya rangkaian saintifik diaspora ini adalah sumber penghasilan bakat yang sangat bernilai bagi meningkatkan lagi pemindahan ilmu pengetahuan dan kemahiran sekali gus dapat memperkukuhkan lagi kerja-kerja penyelidikan di Malaysia," katanya.

Secara tidak langsung kata Muhyiddin, saintis-saintis Malaysia yang bekerja di luar negara dapat menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara menerusi kerjasama dengan penyelidik-penyelidik tempatan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment