My Add

Wednesday 21 November 2012

Ekosistem sihat harus optimum sektor kewangan

 RAJA Nazrin Shah
KUALA LUMPUR, SELASA, 20 November, 2012: Ekosistem kewangan yang sihat seharusnya mengoptimumkan dan bukannya memaksimumkan sektor kewangan, titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

"Sistem kewangan yang berfungsi baik boleh mengurangkan kos transaksi, memudahkan pelaburan dan memperbaiki pengagihan modal dan risiko keseluruhan ekonomi.

"Mengoptimumkan (membawa maksud) ekosistem kewangan itu perlu menghadapi kekangan yang dikenakan ke atasnya," tambah baginda.

Lebih khusus lagi, titah baginda, ia memerlukan pengiktirafan yang mempunyai had kepada pertumbuhan.

"Mengoptimumkan strategi membolehkan keseimbangan yang stabil dikekalkan dalam lingkungan sistem, sekali gus meningkatkan kepastian.

"(Bagaimanapun) adalah penting untuk memaklumkan yang beta tidak mempersoalkan pertumbuhan dalam sektor kewangan semata-mata," titah baginda.

Baginda bertitah, keuntungan yang menggerakkan pertumbuhan seumpama itu dalam sektor kewangan seharusnya diperoleh daripada aktiviti yang menyampaikan manfaat 'sebenarnya' kepada ekonomi.

"Ini adalah bertentangan dengan produk dan perkhidmatan yang lebih spekulatif secara semula jadi dan menyebabkan sistem kewangan menjadi lebih rapuh kepada sebarang kejutan," titah Raja Nazrin Shah.

Baginda turut menekankan yang daya ketahanan ekosistem kewangan seharusnya dipantau dan dinilai secara berterusan, dan reka bentuk dasar dan peraturan mestilah lebih proaktif.

Dasar itu, tambah baginda, perlulah dapat menangani beberapa isu termasuk tahap daya tahannya.

"Sistem itu mampu melalui hingga ke tahap maksimum mana, sebelum ia kehilangan keupayaannya untuk pulih? Latitud seumpama itu akan mewujudkan threshold (bendul) dan jika dilanggar akan menyukarkan pemulihan atau tidak mungkin berlaku langsung.

Bertitah pada Forum Kewangan Asia 2012 di sini hari ini, Raja Nazrin menyatakan yang peraturan dan dasar mestilah betul-betul merujuk kepada daya tahan bersistem yang perlu diperhalusi lagi.

"Ini bukanlah perkara mudah untuk dilakukan dan ia memerlukan pelaburan signifikan untuk penyelidikan yang berkaitan dengan risiko sistemik dan kestabilan kewangan di peringkat global dan tempatan, sama seperti saintis lain memberi fokus kepada daya tahan ekologi," titah baginda.

Baginda menambah, ekosistem kewangan yang berdaya tahan dan sihat mempunyai dua sifat penting - dinamik dan keterangkuman.

"Ekosistem kewangan yang dinamik dan terangkum yang mahu dibina mestilah seumpama 'kediaman' untuk semua, termasuk mereka paling lemah dalam lingkungan masyarakat kita.

"Hanya ekosistem seumpama itu boleh menyokong pertumbuhan ekonomi yang saksama dan mampan," tambah baginda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment