My Add

Thursday 8 November 2012

Empat lelaki didakwa curi 1,407 unit Samsung Galaxy Note

PUTRAJAYA, KHAMIS, 08 November, 2012: Empat lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang di sini terhadap tuduhan mencuri 1,407 unit telefon bimbit Samsung Mobile Galaxy Note II dari bahagian import Maskargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Oktober lalu.

N Selvakumar, 32, J Aravindan, 29, J Pratib dan A Atimulam dituduh mencuri telefon bimbit milik syarikat KGL (KUL) Sdn Bhd yang beralamat di Lot B2B-1 Blok B Maskargo KLIA jam 12.30 tengah hari, 20 Oktober lalu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu bersama-sama tiga lagi tertuduh lain yang didakwa sebelum ini iaitu M Vasanthakumar, 22, S Sanjay, 32, dan P Sagunathan, 29.

Sementara itu, Selvakumar dan Aravindan masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan kedua membantu melupuskan 80 unit telefon bimbit Samsung Mobile Galaxy Note II dengan cara memindahkan kepada K Ugendran, 27, di Ctel Communication, Pusat Beli Belah Terminal One, Seremban pada jam 9 malam, 21 Oktober lalu.

Bagi tuduhan mencuri, mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan melupuskan, Selvakumar dan Aravindan dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Fairuz Mohd Puzi menetapkan 13 Disember untuk sebutan semula kes dan membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Mereka membayar ikat jamin itu.

Selvakumar, Aravindan dan Pratib diwakili peguam Hasnal Rezua Merican. Atimulam diwakili peguam M Sivam. Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwaraya Farahah Mohd Suah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment