My Add

Friday 16 November 2012

Enggan desak Nurul Izzah bertaubat

KOTA BHARU, KHAMIS, 15 November, 2012: Meskipun menyatakan tidak menyokong Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya mengenai kebebasan beragama, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib tetap menganggap isu tersebut kecil.

Malah, Harun seolah-olah menanggap Nurul Izzah tidak melakukan kesalahan besar, justeru enggan meminta Ahli Parlimen Lembah Pantai itu supaya bertaubat sebagaimana nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

"Bertaubat itu kalau dia buat salah besar, dalam perkara-perkara seperti itu Tan Sri Harussani pun harus bertaubat kerana dia tidak menyokong perjuangan Islam, dia harus bertaubat," katanya ditemui selepas perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat Ke-51 di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan di sini.

Harussani dalam reaksinya semalam menasihatkan supaya Nurul Izzah bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah serta menarik balik kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya baru-baru ini.

Turut mendesak wakil rakyat PKR itu supaya bertaubat ialah bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.

Mengulas lanjut Harun berkata, pihak yang meminta Nurul Izzah bertaubat perlu menyatakan kesalahan yang dilakukan oleh anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

"Kita tak ambil berat kes itu, itu perkara biasa sahaja dia buat kenyataan bahawa kebebasan beragama itu tidak terhad kepada orang tertentu sahaja, kepada semua bangsa. Pada asalnya orang Melayu belum masuk Islam dia bebas nak memilih Islam atau tidak, tapi yang dia tak bebas pilih agama itu kerana dia sudah masuk Islam, yang sudah masuk Islam tak bolehlah sekali Islam, sekali Kristian, itu tidak ada," jelas Harun.

Mengulas definisi orang Melayu beragama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara, Harun berkata: "Perlembagaan itu ditafsirkan begitu, orang UMNO itu Melayu juga tapi dia tak melaksanakan Islam, orang Pas orang Melayu tapi melaksanakan Islam."

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, beliau menjelaskan tidak ada masa untuk membincangkan 'benda kecil' termasuk kenyataan Nurul Izzah mengenai kebebasan beragama dalam muktamar kali ini.

"Saya tak ada masa bincang benda kecil-kecil, kita bincang benda besar sahaja bagaimana kita mahu ahli-ahli kita bekerja keras secara teratur, terperinci untuk gulingkan BN pada pilihan raya ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment