My Add

Saturday 17 November 2012

ETP kekalkan momentum

*NAJIB Tun Razak menyatakan sesuatu kepada Mustapa Mohamed (duduk, tiga dari kiri) sambil diperhatikan oleh Idris Jala (duduk, tiga dari kanan) dan wakil pemaju-pemaju projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) di seluruh negara semasa mengumumkan perkembangan ETP di Putrajaya, semalam. - utusan/HANAFI KHAMIS
Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, JUMAAT, 16 November, 2012: Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan pada Oktober 2010 mengekalkan momentumnya apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 20 projek dalam tujuh Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) serta tiga koridor ekonomi.

Projek-projek yang diumumkan Perdana Menteri tersebut bakal menyumbang RM10.08 bilion dalam pendapatan kasar negara (GNI) pada 2020 serta menarik pelaburan sebanyak RM26.09 bilion.

Najib turut mengumumkan liberalisasi dalam enam sub sektor membabitkan perkhidmatan perundangan, perkhidmatan pakar perubatan, pakar pergigian, sekolah antarabangsa, universiti swasta dan telekomunikasi-pembekal kemudahan rangkaian (NFP) dan pembekal perkhidmatan rangkaian (NSP).

Beliau berkata, projek NKEA sahaja akan menyumbang RM1.129 bilion dalam pendapatan kasar negara (GNI) serta mewujudkan 40,021 peluang pekerjaan baru menjelang 2020.

''Kita berada pada landasan untuk mencapai sasaran pembangunan pada 2020. Laporan perkembangan ETP hari ini menunjukkan bahawa ekonomi kita kekal bertenaga dan mempunyai asas yang kukuh untuk terus tumbuh," kata beliau dalam ucapan sempena pengumuman perkembangan terkini ETP di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib berkata, di bawah NKEA minyak, gas dan tenaga, Seaport Worldwide Sdn. Bhd. akan melabur lebih RM1 bilion dalam fasa pertama pembangunan Pusat Industri Petrokimia dan Maritim Tanjung Bin di Johor.

''Pembangunan ini akan meliputi kawasan seluas 902 hektar dan digazet sebagai zon perdagangan bebas dengan pegangan 99 tahun, ia akan melengkapkan projek lain di Johor untuk memacu Malaysia sebagai hab perdagangan dan penyimpanan petroleum di Asia Pasifik," katanya,

Perdana Menteri berkata, pembangunan hartanah di negara ini turut berkembang maju apabila Nusa Gapurna Development Sdn. Bhd. akan menjalankan projek bernilai RM5.23 bilion untuk memaju semula Bandar Lama Petaling Jaya.

''Bandar Dalam Taman PJ Sentral yang meliputi kawasan seluas 16 hektar menyasar untuk menjadi daerah perniagaan hijau di Selangor, sekali gus memberi sokongan kepada Kuala Lumpur dan hab perniagaan lain," katanya.

Najib pada masa yang sama turut mengumumkan projek-projek ETP melibatkan industri digital, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pendidikan seperti berikut.

l GPSTech Solutions Sdn. Bhd. akan memulakan Sistem Pengangkutan Awam Malaysia (MyPUTRAS) iaitu aplikasi dalam talian percuma untuk portal dan telefon pintar bagi menjejak masa ketibaan bas dan tren.

l CRF Computer Recovery Facility Sdn. Bhd. membina pusat data untuk menawarkan perkhidmatan data secara setempat.

l Amanjaya Specialist Centre Sdn. Bhd. merancang untuk membina hospital pakar pelbagai disiplin di Sungai Petani, Kedah.

l Love On Wheels Healthcare Services Sdn. Bhd. yang membekal perkhidmatan penjagaan kesihatan secara mobil akan melabur untuk membawa perkhidmatan dari hospital ke rumah dan pejabat.

l Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd, akan melabur RM8.93 juta dalam projek diagnostik in-Vitro.

l Vigilenz Medical Devices Sdn. Bhd. akan melabur RM25.8 juta untuk memperluaskan pengeluaran sedia ada.

l Straits Orthopaedics merancang untuk memperluaskan produknya untuk merangkumi produk spina dan sendi.

l Jewel of Mabul Development Sdn. Bhd. akan membina resort atas air dan restoran dalam air di Pulau Mabul.

l Kementerian Pelajaran bekerjasama dengan Persatuan Institusi Pendidikan Swasta Kebangsaan (NAPEI) dan Education Malaysia Global Services untuk untuk menjenama sekolah antarabangsa Malaysia.

Dalam pada itu, Najib turut mengumumkan projek-projek penting yang mengambil tempat di koridor-koridor ekonomi di seluruh negara.

''Di bawah Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), kita mempunyai lima projek pelaburan bernilai RM16.51 bilion.

''Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mempunyai tiga projek di bawahnya yang bernilai RM2.46 bilion dari segi pelaburan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment