My Add

Sunday, 11 November 2012

Fasa ketiga bernilai RM563j
 
*NAJIB Tun Razak bergambar bersama wakil-wakil wilayah yang menerima cek durian runtuh fasa ketiga dalam Program Himpunan Generasi Baharu Felda di padang kawad UiTM, Shah Alam, semalam. Turut sama, Mohd. Isa Abdul Samad dan Ahmad Maslan. - MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI

Oleh HELMI MOHD. FOAD, ABDUL YAZID ALIAS dan RAJA SYAHRIR ABU
SHAH ALAM, SABTU, 10 November, 2012: Hasil kejayaan Felda terus menerus melimpah apabila kini giliran generasi baharu peneroka menerima durian runtuh bagi fasa ketiga berjumlah RM563.2 juta sebagaimana dijanjikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang menyempurnakan pembayaran tersebut berkata, durian runtuh sebanyak RM5,000 kepada setiap 112,636 buah keluarga peneroka melibatkan 11 kawasan tanah rancangan setelah sebelum ini pembayaran seumpama itu dinikmati oleh golongan ibu bapa mereka sebagai peneroka.

"Durian runtuh fasa pertama peneroka dapat, kemudian fasa kedua penerokawati dan hari ini generasi kedua iaitu anak-anak peneroka pula mendapat rahmat durian runtuh sekali gus membuktikan kita kerajaan tidak pernah mungkir janji.

"Kerajaan terbukti mempunyai kemampuan untuk membela generasi baharu, dunia kenal Felda, dunia kenal Malaysia kerana perancangan kita. Namun itu belum cukup lagi, ada lagi besar, yang cukup ialah apabila tiba masanya pilihan raya nanti... boleh atau tidak?," katanya yang disambut laungan boleh oleh kira-kira 12,000 generasi baharu Felda bahawa mereka akan memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Generasi Baharu Felda di padang kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan wakil generasi baharu Felda, Anuar Manap.

Sebagai tanda pembayaran itu, Perdana Menteri menyampaikan replika cek kepada wakil dari 11 Wilayah Felda iaitu Raja Alias, Segamat, Gua Musang, Kuantan, Trolak, Johor Baharu, Mempaga, Terengganu, Alor Setar, Jengka dan Sahabat di Lahad Datu.

Bayaran durian runtuh itu akan dibayar dalam bentuk cek menerusi rancangan Felda terbabit dan pihak keluarga akan menentukan bayaran cek berkenaan ke atas nama individu.

Laporan sebelum ini menyatakan, durian runtuh yang disalurkan itu adalah berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke Bursa Malaysia dan disifatkan sebagai penyenaraian kedua terbesar di dunia.

Perdana Menteri dalam ucapannya menggesa generasi baharu Felda agar melengkapkan diri dengan tiga faktor iaitu ketinggian ilmu bagi memartabatkan bangsa, penguasaan teknologi menggantikan tulang empat kerat serta inovasi mencari kekayaan baru bagi merubah wajah tanah rancangan itu.

"Dulu mereka baiki motosikal tetapi dengan jasa Felda sekarang generasi baharu Felda kini mampu memperbaiki pesawat-pesawat canggih pula," katanya.

Perdana Menteri berkata, menyedari bahawa rumah-rumah peneroka dahulu kecil dan serba sederhana, kerajaan menyedia satu program perumahan untuk generasi baharu Felda melalui projek Sentuhan Kasih Felda.

"Kita buat rumah pasang siap menggunakan IBS (Sistem Pembinaan Industri), banglo yang dibuat itu boleh siap dalam tempoh satu minggu dengan nilai RM70,000 untuk dijual kepada anak-anak peneroka, dapat pinjaman bank hanya bayar RM360 sebulan.

"Inovasi baru juga kita hendak generasi kedua Felda menjalankan aktiviti tanaman seperti tembikai madu yang rasanya sedap," katanya.

Beliau berkata, hasil inovasi yang dilakukan oleh Felda, generasi baharu tanah rancangan mampu untuk memiliki rumah bersaiz banglo dan pada masa sama memperoleh pendapatan lebih tinggi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment