My Add

Sunday 4 November 2012

FRU dicadang bantu banteras jenayah

 *SHAHRIZAT Abdul Jalil bertanyakan sesuatu kepada Mat Raduan Mat Hassan
 di ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam. - BERNAMA
KOTA BHARU, SABTU, 03 November, 2012: Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dicadangkan turut dilibatkan untuk membanteras kegiatan jenayah yang masih membimbangkan, terutama di kawasan bandar.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, maklumat balas yang diperoleh oleh Wanita BN daripada masyarakat akar umbi yang mencadangkan supaya FRU digerakkan untuk membantu polis membanteras kegiatan jenayah seperti samun, ragut dan rogol.

"Mereka (masyarakat) mencadangkan di kawasan kadar jenayah tinggi, FRU turun untuk membantu. Ini cadangan yang diberi kepada Wanita BN, terutama di kawasan bandar apabila kita tengok peratusan jenayah walaupun ada penurunan tetapi masih membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dua anggota polis yang cedera akibat ditembak oleh penjenayah baru-baru ini, di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini hari ini.

Dua anggota polis yang dilaporkan dalam keadaan stabil itu ialah Lans Koperal Mohd. Samsul Anuar Mohd. Adnan, 27, dari Balai Polis Paloh, Gua Musang dan Koperal Mat Raduan Mat Hassan, 50, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata, penglibatan anggota FRU bersama polis dan pasukan sukarelawan berkaitan akan menakutkan penjenayah daripada melakukan jenayah.

"Kita jangan khuatir untuk mengeluarkan FRU dari markas, FRU bukan hanya untuk masa nak berperang (rusuhan dan perhimpunan haram)..tak ada. Kehadiran ramai anggota keselamatan yang beruniform di khalayak ramai di kampung dan bandar akan memberi kesan positif untuk menakutkan penjenayah.

"Saya rasa bahawa isu keselamatan menjadi isu yang besar, mana-mana saya pergi wanita BN memberi maklum balas daripada rakyat termasuk (lawatan) dari rumah ke rumah, rakyat mahu kerajaan beri tumpuan kepada isu keselamatan terutama terhadap penjenayah seperti samun, ragut dan rogol," katanya.

Shahrizat berkata, wanita BN mengucapkan terima kasih kepada polis kerana bekerja kuat untuk keselamatan rakyat dan negara.

Mohd. Samsul Anuar cedera parah di bahagian dada selepas ditembak dua penyamun dalam satu sekatan jalan raya di Paloh, Gua Musang pada awal pagi 30 Oktober lepas.

Mat Raduan pula cedera di tangan dan rusuk kanan selepas terkena tembakan dalam kejadian berbalas tembak dengan seorang penjenayah di Kilometer 45 Jalan Kota Baharu-Kuala Krai di Kampung Kemuning, Machang, pada Rabu lepas.

Penjenayah terbabit ditembak mati oleh polis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment