My Add

Wednesday 14 November 2012

FTA Malaysia-Australia beri lonjakan besar
 
*MUHYIDDIN Yassin mencuba eksperimen kimia dalam taklimat program GATE Ways untuk merangsang minat murid belajar sambil diperhatikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Dr. Mohamad Rameez Yahaya di Melbourne, Australia, semalam. - BERNAMA
Rozaman Ismail
MELBOURNE, SELASA, 13 November, 2012: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Australia yang bermula Januari depan akan menghasilkan lonjakan besar dalam semua bidang ekonomi antara kedua-dua buah negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian itu sangat ditunggu-tunggu oleh masyarakat perdagangan Malaysia dan Australia.

Beliau berkata, pengecualian cukai ke atas barangan yang dibawa masuk ke Malaysia dan Australia akan menjadikan perdagangan dapat dipertingkatkan daripada biasa.

‘‘Para pengusaha, peniaga dan badan-badan perdagangan perlu mengambil kesempatan dan kita harap akan ada lonjakan besar dalam semua bidang," katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri adalah dalam rangka lawatan kerja sembilan hari ke Melbourne, Brisbane dan Gold Coast bermula Sabtu lalu.

Di bawah perjanjian liberalisasi tersebut, lebih daripada 97 peratus tarif yang dikenakan ke atas produk Australia yang dijual di Malaysia akan dihapuskan manakala Australia bersetuju untuk menghapuskan tarif ke atas produk Malaysia yang memasuki negara itu.

Malah syarikat daripada sektor perkhidmatan Australia akan dipermudahkan untuk mewujudkan operasi pemilikan penuhnya di Malaysia.

Sehubungan itu kata Timbalan Perdana Menteri, Majlis Perniagaan Australia-Malaysia perlu menggiatkan usaha bagi memberi kesedaran kepada kepada komuniti perniagaan dan syarikat-syarikat Australia mengenai faedah perjanjian itu.

Katanya, walaupun perjanjian perdagangan itu amat ditunggu-tunggu oleh komuniti perniagaan Australia namun sebahagian daripada mereka mungkin tidak mengetahui dan memahami apa kandungan perjanjian itu.

“Perlu ada program mendidik dan memberi kesedaran dalam kalangan ahli-ahli majlis perniagaan dan syarikat-syarikat di sini tentang kandungan FTA serta apa manfaat yang bakal diperoleh," katanya.

Sebelum itu Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Perniagaan Australia-Malaysia Larry Gould dan ahli-ahli majlis perniagaan itu di sini.

Berhubung pertemuannya dengan Ketua Menteri Victoria, Ted Baillieu hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh menjadi destinasi pendidikan kepada para pelajar dari negara ini yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi berkualiti dengan kos yang lebih rendah.

Menurutnya, beberapa buah universiti ternama di Australia telah menubuhkan kampus di Malaysia antaranya Monash University, Swinburne University dan Curtin University.

‘‘Dengan nilai dolar Australia lebih kukuh, kos pengajian lebih rendah berbanding di negara ini," katanya.

Mengenai program khas bagi pelajar pintar, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya sentiasa terbuka jika ada pihak swasta mahu melaksanakan program seumpama itu sebagaimana yang sudah dijalankan di negara ini.

Katanya, aktiviti berkumpulan yang bertujuan merangsang minat murid sekolah rendah dalam bidang tertentu seperti yang dilakukan oleh GATE Ways di Australia boleh dilaksanakan oleh sekolah-sekolah antarabangsa swasta di Malaysia.

GATE Ways adalah sebuah syarikat swasta yang mengendalikan program hujung minggu untuk murid sekolah rendah dengan memberi pendedahan dalam bidang seperti sains, kesenian, muzik, sukan dan kepemimpinan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment