My Add

Wednesday 7 November 2012

Guan Eng didesak dedah lokasi rumah RM415,000

GEORGETOWN, RABU, 07 November, 2012:Enam individu hari ini berhimpun secara aman di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang untuk mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng mendedahkan lokasi rumah berkembar berharga RM415,000.

Salah seorang daripada mereka, Kenneth Quah, 35 berkata beliau berbuat demikian susulan kenyataan akhbar ketua menteri dalam akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini yang mengatakan harga rumah berkembar di sebelah pulau diturunkan sehingga RM415,000.

Quah yang bekerja sebagai pengurus jualan berkata beliau sudah lama teringin memiliki kediaman sendiri.

"Kami sudah puas cari tapi tak jumpa dan sebagai rakyat Pulau Pinang kami rasa tertipu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, seramai 30 ahli Persatuan Muka Buku Pulau Pinang dan penjaja Padang Kota Lama mendesak Speaker Datuk Abdul Halim Hussain membentangkan usul pelaksanaan hukum hudud dan isu penjaja kecil Padang Kota Lama pada persidangan DUN kali ini.

Pengerusinya Salleh Ismail berkata beliau telah menghantar memorandum berhubung isu itu pada 1 Nov lepas namun sehingga hari kelima persidangan perkara itu masih tidak dibangkitkan di dalam dewan.

"Sejak hari pertama dewan bersidang dua orang wakil rakyat yang bertanggungjawab iaitu Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man dan Adun Padang Kota Lama Chow Kon Yeow langsung tak buat apa-apa.

"Sekarang ini, kami nak beri surat celaan kepada Datuk Speaker sendiri kerana kedua perkara melibatkan kepentingan rakyat ini tidak dibincangkan dalam dewan," katanya.

Dalam perhimpunan yang berlangsung lebih sejam yang bermula pukul 12.20 tengah hari itu berlaku sedikit kekecohan apabila Speaker Dewan enggan bersemuka dengan kumpulan berkenaan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment