My Add

Wednesday 21 November 2012

Hadi jadi PM hanya harapan ahli; SU Agung Pas

 Mustafa Ali
KUALA LUMPUR, SELASA, 20 November, 201: Isu siapa menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak perlu dijadikan polemik oleh pemimpin dan penyokong perikatan pembangkang itu kerana ia hanya satu harapan ahli, bukannya usul atau keputusan muktamad Pas.

Menjawab polemik isu jawatan Perdana Menteri yang tercetus sejak Jumaat lalu di sebalik Muktamar Tahunan Pas ke-58, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, perkara tersebut hanya satu perbahasan dalam pertemuan tahunan pihaknya.

Malah kata beliau, isu tersebut juga bukan satu usul dibawa ke dalam muktamar kali ini.

“Maka tiada keperluan sebenarnya untuk media memainkan perkara ini kerana ia bukan sebahagian daripada usul muktamar,” kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu tambah Mustafa, cadangan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri hanya luahan sayang para perwakilan ke atas beliau yang dianggap bapa, yang dihormati dan disanjungi ketika perbahasan muktamar.

“Ahli-ahli Pas hanya mengharapkan yang terbaik untuk ayah mereka... sebagaimana anak-anak lain mendoakan yang terbaik untuk ibu bapa sendiri. Walau bagaimanapun, harapan anak tidak semestinya sama dengan hasrat ayah,” katanya.

Mustafa juga dipetik berkatam tidak berbangkit soal jumlah kerusi di dalam Pakatan Rakyat.

“Selain di Kelantan, negeri-negeri yang dimenangi PR seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor semua memerlukan ketiga-tiga parti komponen untuk bersama, baru boleh membentuk kerajaan.

“Selain Pas di Kelantan, PKR di Selangor, DAP di Penang dan Pas di Kedah, semuanya tiada majoriti untuk memerintah sendiri jika tidak bersama-sama dengan rakannya dalam PR.

"Walaupun mendapat kerusi terkecil, Adun Pas dipilih menjadi Menteri Besar di Perak,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan para pemimpin dan penyokong PR berwaspada dengan media yang cuba melaga-lagakan parti-parti komponen PR.

“Fokuskan kepada kerja untuk memenangkan PR. Dan yakinlah dengan 'track record' PR dalam kerjasama, kematangan dan muafakatnya selama ini dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat bila tiba masanya nanti,” tambah beliau. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment