My Add

Wednesday 14 November 2012

Hapuskan virus sabotaj dalam parti supaya BN menang PRU: Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, RABU, 14 November, 2012: Kekalahan calon UMNO pada pilihan raya umum lalu adalah kerana faktor sabotaj di kalangan ahli parti yang turut menjadi antara punca yang menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan dua pertiga, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

"Inilah maklum balas yang saya terima berdasarkan tinjauan saya ke 80 peratus tempat di Malaysia ini termasuk kawasan (dilabelkan) ‘hitam mahu pun putih’.

"Janganlah ada sabotaj lagi. Kita perlu dahulukan parti dan bukannya kepentingan periuk nasi sendiri," katanya.

Jelasnya ada tiga faktor wujudnya virus sabotaj ini iaitu sabotaj kerana tidak suka kepada calon yang dipilih, sabotaj kerana tidak dicalonkan dan sabotaj kerana tidak setia kepada parti dan tiba-tiba ingin keluar dari parti.

"Sebagai ahli parti, kita kena setuju pada calon yang dipilih, kena setia pada parti. Jangan ada budaya pangkah calon ikut kaum saja sebab kita 1Malaysia.

"Kalau tidak jadi calon, banyak lagi rezeki dan tidak salah untuk terus menyokong kepimpinan tanda taat setia kepada perjuangan parti," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perhimpunan agung UMNO nanti perlu dijadikan medan pertempuran terakhir dan digunakan sebaik-baiknya oleh ahli UMNO untuk menghapuskan terus virus sabotaj daripada terus menular di dalam parti yang menyatukan kaum Melayu ini.

Beliau turut mendedahkan majoriti perwakilan pada perhimpunan itu adalah 'winnable candidate' atau "calon boleh menang" dan juga boleh menjadi 'pembawa virus sabotaj'.

Ahmad percaya perhimpunan agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini yang bermula 27 November hingga 1 Disember ini sebagai persediaan terpenting bagi memantapkan jentera parti.

Katanya, jurucakap negeri dan perwakilan yang dilantik parti perlu menjelaskan sejauh mana program turun padang yang dilakukan pemimpin mereka berkesan di akar umbi.

"Pimpinan pusat juga ingin tahu dan ingin maklum balas apa sebenarnya yang diperlukan perwakilan atau jurucakap bagi memantapkan jentera. Seharusnya mereka jelaskan apa respons akar umbi dan rakyat tentang program kerajaan.

"Selain itu, mereka juga perlu menjelaskan persiapan kawasan masing-masing menghadapi PRU selain membuktikan apa yang mereka lakukan sebagai tanda setia kepada parti. Jangan ada yang tidak setia seperti tokoh dan ahli sebelum ini," katanya.

Ahmad turut mencadangkan supaya ahli UMNO memperbaharui ikrar tanda taat setia kepada parti semasa perhimpunan itu.

Baginya perhimpunan kali ini juga penting untuk memastikan jentera parti bersiapsiaga dalam memastikan UMNO membantu BN kembali kepada tradisi menang dua pertiga selain menawan semula negeri yang kalah dan menambah jumlah undi popular semasa PRU nanti.

"Seperti faktor A BA TA, iaitu A - agama Islam, BA - bangsa dan TA - tanah air. Maka faktor ABATA ini perlu tersemat dalam setiap ahli UMNO jika inginkan negara terus diterajui BN pada masa depan," katanya.

Ketika ditanya senjata tambahan UMNO selain perhimpunan agung ini, Ahmad berkata, barometer UMNO juga ada pada pengundi baru dan ini terbukti pada pilihan raya kampus di mana pro-aspirasi memenangi banyak kerusi berbanding pro-pembangkang.

"Pemikiran pengundi baru khasnya dari belia penting kerana mereka ada wawasan jangka panjang dan bukan singkat ini boleh membantu jentera kita pada PRU nanti," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment