My Add

Thursday 22 November 2012

Hutang peneroka Kesedar lebih RM133j dilupus

GUA MUSANG, RABU, 21 November, 2012: Kerajaan Pusat bersetuju melupuskan hutang membabitkan seramai 2,288 peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) berjumlah lebih RM133 juta sejak rancangan kemajuan tanah itu beroperasi di negeri ini pada 1978.

Pengerusi Kesedar, Datuk Ramzi Abdul Rahman (gambar), ketika mengumumkan perkara itu, berkata, pelupusan hutang tersebut termasuk RM112.4 juta faedah tunggakan hutang yang belum dilunaskan sejak peneroka terbabit menduduki tanah tanah rancangan 34 tahun lepas.

Beliau berkata, surat bertarikh 9 November lepas dari Perbendaharaan Persekutuan Kementerian Kewangan itu berkuat kuasa serta-merta.

"Kelulusan kerajaan melalui Kementerian Kewangan melupuskan hutang itu merupakan berita yang amat menggembirakan peneroka," katanya kepada pemberita selepas bertemu Pengurus Besar Kesedar, Mohd. Arshad Ismail, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta wakil generasi kedua rancangan kemajuan tanah itu di sini hari ini.

Ramzi berkata, kejayaan itu hasil usaha yang diperjuang oleh peneroka kerana ramai di antara mereka yang gagal melunaskan hutang Kesedar walaupun sudah mempunyai generasi kedua.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sedang mencari formula sesuai untuk menentukan kaedah terbaik memulangkan wang peneroka yang melunaskan hutang sebelum ini.

Katanya, perkara itu akan diputuskan kemudian oleh pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Kewangan.

Ramzi turut mengumumkan Kesedar akan berkerjasama dengan Risda untuk menanam semula getah di sembilan rancangan kemajuan tanahnya berkeluasan 4,100 hektar di Gua Musang, melibatkan kos RM155 juta.

Beliau berkata, program tanaman getah kepada getah, yang diperkenal di kawasan rancangan kemajuan tanah itu mulai tahun ini, lebih menguntungkan berbanding kelapa sawit.

Sementara itu, peneroka generasi kedua Kesedar, Mohd. Hanafi Mohd. Nasir, 47, berkata, beliau amat bersyukur dengan langkah kerajaan yang melupuskan hutang peneroka tersebut sejak isu berkenaan diperjuangkan lebih 10 tahun lepas.

Seorang lagi, Abdul Aziz Mohamad, 59, pula berkata, sepanjang menyertai rancangan kemajuan tanah di Jeram Tekoh pada 1978, inilah kali pertama beliau menerima berita amat menggembirakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment