My Add

Sunday 18 November 2012

Ibu pejabat Hamas musnah
 *PENDUDUK Palestin berkumpul di kawasan yang diserang oleh tentera udara
Israel di Gaza City, semalam. - AFP
GAZA CITY, SABTU, 17 November, 2012: Israel melancarkan lebih 180 serangan udara ke arah Genting Gaza awal pagi hari ini, termasuk serangan yang disasarkan ke ibu pejabat kerajaan Hamas hingga menyebabkan bangunan tersebut musnah teruk, menurut kenyataan yang dikeluarkan Hamas.

Serangan baharu itu merupakan tindak balas rejim Zionis terhadap beberapa siri serangan roket yang pertama kali dilancarkan oleh Hamas ke atas bandar suci Baitulmaqdis, yang meningkatkan lagi ketegangan antara Israel dengan pejuang Palestin.

"Empat serangan disasarkan ke arah ibu pejabat Kabinet Hamas. Bagaimanapun, kerajaan kekal dengan pendirian untuk terus menentang Israel dan bersama penduduk Palestin," menurut kenyataan itu lagi.

Menurut saksi dan pegawai Hamas, ibu pejabat yang terletak di kawasan kejiranan Nasser di Gaza City, musnah teruk dalam serangan tersebut.

"Bangunan tersebut musnah sama sekali dan beberapa buah rumah berdekatan turut musnah," katanya.

Pagi semalam, Haniyeh dan beberapa pegawai tinggi Hamas berada di bangunan tersebut bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri Mesir, Hisham Qandil dalam lawatan singkatnya ke Gaza.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel berkata, tentera Israel (IDF) menyasarkan serangan pada bangunan yang menempatkan ibu pejabat Perdana Menteri, Ismail Haniyeh di Gaza.

"Dalam tempoh enam jam, IDF menyasarkan sebanyak 85 lagi serangan di kawasan pengganas," menurut kenyataan pasukan itu dalam akaun Twitter rasmi milik mereka.

Tentera Israel turut mendakwa sebanyak 150 roket yang dilancarkan dari Gaza mengenai kawasannya sejak semalam dan sekurang-kurangnya 83 lagi berjaya dipintas oleh sistem anti peluru berpandu Iron Dome miliknya.

Pegawai perubatan Gaza, Ashraf al-Kidra berkata, dalam serangan terbaru hari ini, sebanyak 10 orang terbunuh termasuk lapan pejuang Palestin, manakala berpuluh-puluh lagi tercedera.

Secara keseluruhan setakat tengah hari, sebanyak 40 rakyat Palestin terbunuh termasuklah 13 orang awam dan tiga orang awam Israel pula turut maut sejak Israel memulakan operasi ketenteraannya Rabu lalu. - Agensi

No comments:

Post a Comment