My Add

Sunday 4 November 2012

IJN anjur larian didik masyarakat bersenam

KUALA LUMPUR, AHAD,:04 November, 2012: Lebih 1,000 orang hari ini menyertai larian yang pertama kali dianjurkan oleh Institut Jantung Negara (IJN) yang prihatin dengan peningkatan sakit jantung dalam negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata, penyakit jantung masih menjadi pembunuh nombor satu di kalangan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

"Meskipun banyak kempen dan inisiatif dijalankan namun kadar sakit jantung masih tinggi terutama disebabkan gaya hidup masyarakat masa kini yang kurang sihat," katanya pada acara larian 'IJN's Run For Your Heart 2012'di Taman Tasik Titiwangsa di sini, hari ini.


Justeru, beliau menasihatkan masyarakat untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat melalui penjagaan pemakanan dengan diet yang betul dan kerap bersenam kerana hanya dengan berbuat demikian dapat mengurangkan risiko menghidapi penyakit berbahaya itu.

Dr Mohd Azhari berkata, aktiviti larian seumpama itu akan terus dianjurkan pada masa akan datang untuk menggalakkan masyarakat bersenam di samping beriadah bersama keluarga.

Sementara itu, peserta larian Nurul Ain Abdul Rahman, 24, berkata beliau mengikuti acara larian itu untuk turut sama bersenam memandangkan tugasan harian yang sibuk menyukarkan beliau berbuat demikian.

"Walaupun saya suri rumah sepenuh masa namun tiada masa untuk bersenam kerana sibuk menjaga anak yang masih kecil," katanya yang turut ditemani suami, Mohd Amiruddin Halim.
Bagi peserta dari Selayang Linda Ooi, 40, pula berkata kesedaran menjaga kesihatan jantung timbul apabila rakan seusianya menghidap penyakit itu.

"Saya mula prihatin terhadap kesihatan apabila melihat kawan yang menghidap penyakit jantung terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan yang kadang kala membabitkan kos tinggi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment